lahir ramai penulis buku kraf

Grup Buku Karangkraf penuhi keperluan pasaran, terbit buku kraf pada harga berpatutan

GRUP Buku Karangkraf mahu menerbitkan lebih banyak buku kraf dalam kalangan penulis tempatan dan mengalu-alukan mereka yang berkemahiran dalam bidang kraf tertentu untuk tampil dan bekerjasama dengan syarikat itu.

Penerbit Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, penerbitan buku kraf dalam bidang jahitan dan resipi oleh Grup Buku Karangkraf mendapat sambutan memberangsangkan dan memenuhi keperluan pasaran tempatan sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, dengan adanya penulis tempatan ia memudahkan pembaca mendapatkan bahan-bahan kraf yang digunakan dan ia lebih realistik berbanding mengambil buku dari luar negara.

"Kebanyakan buku kraf dijual pada harga mahal. Namun, Grup Buku Karangkraf mengambil inisiatif menerbitkan buku tersebut untuk memenuhi keperluan pasaran dengan menawarkan harga berpatutan.

"Ia bertujuan memberikan kemudahan kepada setiap golongan mempelajari selok-belok kraf khususnya jahitan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pertama Noriss Nur, Oh Mudahnya Jahit Baju Melayu, di Auditorium Karangkraf, Shah Alam semalam. Firdaus berkata, kebanyakan pembeli buku kraf merupakan golongan pelajar, ibu-ibu yang baru belajar menjahit dan golongan profesional.

 

"Permintaan terhadap buku kraf tinggi dan syarikat telah menerbitkan lebih 200 buku kraf meliputi jahitan asas sulaman, jahitan dan kelengkapan bayi dan resipi serta sebagainya," katanya. Sementara itu, penulis buku Oh Mudahnya Jahit Baju Melayu, Noorhaizah Azman atau Noriss Nur berkata, buku tersebut diterbitkan kali pertama bersama Grup Buku Krangkraf dan mengandungi langkah demi langkah menjahit Baju Melayu Cekak Musang dan Baju Melayu Teluk Belanga.

"Buku ini turut dilengkapi langkah-langkah menjahit bergambar, nota panduan dan pola percuma untuk membuat baju dengan mudah. Sejak dilancarkan Ogos lalu, buku ini menerima sambutan memberangsangkan.

Malah, turut dapat permintaan dari Singapura dan Brunei. Saya mengunjurkan jualan buku ini sebanyak 3,000 unit menjelang akhir tahun ini," katanya.

 

Petikan daripada akhbar Sinar Harian

18 Oktober 2018

Imprint