KENALI NOVELIS - ZULFATI HANIS


ZULFATI HANIS terlibat dalam dunia penulisan secara tidak sengaja. Sedari kecil, saya mempunyai masalah membaca. Jadi untuk memahirkan diri lancar membaca, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca pelbagai jenis buku cerita. Dari situ, minat menulis saya dipupuk. Malah, ketika di sekolah dulu saya sering menulis sajak dan cerpen sekadar suka-suka.   

Karya pertama saya bertajuk BERAKHIR SEBUAH PENANTIAN diterbitkan pada tahun 2006 oleh penerbitan Rhythm Publishing. Kemudian, saya berehat seketika untuk memberi tumpuan pada kerjaya. Pada tahun 2011, saya kembali dengan novel kedua bertajuk, KEMBALI PADAMU. KEMBALI PADAMU diterbitkan di bawah penerbitan Buku Prima.

Pada tahun 2013, sekali lagi karya saya berjaya  dilahirkan dengan tajuk INGAT-INGAT LUPA.

Seterusnya pada tahun 2015, saya muncul lagi dengan novel bertajuk MY SWEET TOM GIRL dan masih lagi bertahan dengan Buku Prima.

Alhamdulillah, novel terbaharu saya, CINTA MR ICE BLOCK baru dikeluarkan pada bulan OGOS 2018. Novel ke-4 saya kali ini diterbitkan di bawah label Alaf 21.

Kesemua novel saya bertemakan cinta kekeluargaan. Saya selesa dengan tema seperti ini kerana  pada saya, erti cinta ini sangat universal. Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan.

Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Cinta dan kasih sayang boleh menjadi benteng yang sangat kuat untuk menghadapi cubaan dan ujian daripada ALLAH.

Saya benar-benar berharap kesemua novel saya memberi pengajaran dan impak yang baik kepada para pembaca. Doakan saya terus diberikan kesihatan yang baik dan dikurniakan ilham yang tidak putus-putus supaya saya dapat menulis sesuatu yang menarik dan lebih berkualiti.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong minat saya dalam dunia penulisan ini. Terutamanya buat keluarga, rakan-rakan dan peminat novel. Tanpa sokongan semua, tak mungkin lahirnya seorang ZULFATI HANIS.

 

Terima kasih,

Zulfati Hanis

14 Sept 2018

Imprint