Mencari Ilmu Dalam Kegagalan & Penyesalan


Ibnu Ata’illah pernah berkata:

 

“Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat dan tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Di masa yang lain pula ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat, tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah dan menyesal lebih baik daripada perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takbur dan angkuh.”

 

Benar, perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah dan menyesal itu lebih baik daripada perbuatan taat yang menerbitkan sikap angkuh serta takbur. Samada sengaja atau tidak, maksiat dan dosa itu melibatkan kegagalan dalamnya.

 

Demi mencari kejayaan dan kemenangan, ada antara kita kadang-kala mudah menghalalkan cara walaupun matlamat yang ingin dikejar itu baik. Namun, kegagalan akan mengiringinya. Jalan yang ditempuh, jika lari daripada petunjuk Ilahi, tidak akan ke mana.

 

Begitulah rukun hidup. Ada kala kita telah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu perkara. Kita telah lakukan dengan betul-betul. Tetapi, caranya pula yang salah.

 

Rasulullah SAW telah menunjukkan cara yang betul untuk meraih kejayaan dunia dan akhirat. Sunnah yang ditinggalkan baginda berpandukan wahyu al-Quran tidak menitipkan walau sedikit cela. Maka lihatlah hasilnya. Islam berjaya menakluki dunia dan membawa kita kepada kejayaan yang sebenar di akhirat kelak.

 

Melihat kepada kegagalan selama ini, barangkali kita wajar merenung dan memuhasabah kembali. Apakah perkara yang kita lakukan selama ini walaupun matlamatnya indah, caranya sudah betul? Apakah jalan yang ditempuh itu selari dengan perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW?

 

Kegagalan rumah tangga, perniagaan atau pelbagai lagi, adakah berpunca daripada sikap atau tindakan kita sendiri yang gagal mengikut petunjuk yang ada? Namun, positifnya adalah setiap kegagalan seharusnya membawa kita kepada muhasabah. Andai ia berpunca daripada sikap sendiri, pasti penyesalan pula akan mengiringinya.

 

Namun, setiap penyesalan akhirnya menerbitkan semangat baru kepada diri sendiri. Bahkan lebih daripad itu, ia memberikan peluang kepada kita untuk bermula semula episod baru dengan penug kegagahan dan keberanian. Bagaimanapun, ia tetap memerlukan kepada ilmu!

 

 

 

KALENDAR
Imprint