Pelajaran Dari Sebuah Lagu


“Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri

Di sebalik pahit getir kemenangan menanti

Bagaikan burung phoenix bangkit dari abu

Bangkit membina satu keindahan baru

Phoenix bangkit

 

Bina jambatan menuju ke seberang

Dengan darah keringat dan air mata oh…

Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan

Dirindukan

Demi cinta tiada lain demi cinta…”

 

Ya. Itulah antara dua rangkat lirik lagu Phoenix Bangkit Dari Abu. Ciptaan dan nyanyian seorang insan yang dianggap sebagai sifu dalam industri muzik tanah air, Datuk M. Nasir. Penuh makna dan penghayatan.

 

Terpesona dengan indah liriknya. Kisah utama menggambarkan mengenai kebangkitan burung Phoenix. Benar, Phoenix dalam mitologi Mesir adalah sejenis burung lagenda yang punya keramat. Burung api ini digambarkan memiliki bulu yang sangat indah berwarna merah keemasan.

 

Burung Phoenix dikatakan dapat hidup selama 500 hingga 1461 tahun. Setelah hidup selama itu, Phoenix membakar dirinya sendiri sehingga menjadi abu. Dari abunya sendiri, muncullah burung Phoenix muda. Mitosnya, kehidupan burung Phoenix itu bangkit selepas mati lalu muncul sebagai sesuatu yang baru. Menggambarkan kebangkitan semula semangat setelah mengalami kehancuran.

 

Ya, kehancuran itu boleh jadi pelbagai dalam perkara. Kehidupan yang sebelum ini kelihatannya hancur harus dibina semula. Datuk M.Nasir menggambarkan kepada kita mengenai kebangkitan kehancuran itu perlu dibina semula dengan keindahan yang baru.

 

Namun, di situ masih ada syarat utama dalam kebangkitan. Jangan gentar pada bayang-bayang sendiri. Itulah syarat yang ditekankan dalam lirik berkenaan. Benar, kadangkala kerana takutkan bayang-bayang sendiri, ia ternyata menghalang kita daripada meneruskan kebangkitan.

 

Kemudian menjadi bayang-bayang sendiri. Di situlah halangan wujud dalam meneruskan langkah selanjutnya. Ketika penyesalan dan taubat diucapkan.

 

Sebaliknya, jadilah seperti yang Datuk M.Nasir gambarkan. Jangan gentar pada bayang-bayang sendiri. Mempercayai bahawa di sebalik pahit getir dalam kebangkitan itu, ada kemenangan yang sedang menanti. Kemenangan itu boleh jadi sebuah kebahagiaan atau mungkin kejayaan.

 

 

 

 

KALENDAR
Imprint