ISTIMEWANYA KAMU!


 

“Aku sayang kamu” merupakan lafaz yang sudah subur dalam budaya kita sejak turun-temurun. Tetapi sayangnya, ungkapan hebat dan indah ini hanya mudah di lafaz tetapi sukar untuk dirasai sepenuhnya oleh yang menyebut atau yang menerima.

Selalunya ungkapan ini diluahkan pada hari-hari istimewa sahaja. Misalnya pada hari ulang tahun kelahiran dan perkahwinan, saat beroleh kejayaan besar, mendapat anugerah dan majlis keraian-keraian tertentu.

Akhirnya, ungkapan yang mudah itu mula menjauh pada hari-hari biasa sehingga akhirnya ia dilupakan yang akibatnya ia terus sulit dan janggal diucapkan, walaupun hanya tiga perkataan sahaja.

 

Mencari Punca Dinginnya Jiwa

Mengapa ini terjadi?

Salah satu puncanya ialah bila kita tidak cukup bersedia untuk menyayangi diri sendiri sepenuh hati. Bagi kita, kalau sayang tidak perlu ucapan atau ungkapan, cukuplah hadiah sebagai pengganti diri.

Andai anak yang berada dalam situasi ini, akibatnya ibu bapa tidak akan mampu mempamerkan rasa kasih dan cintanya kepada ahli keluarga secara efektif, sedangkan anak-anak sangat memerlukannya.

Maka dari situ terciptalah sikap kelu dan bisu bila bersama ahli keluarga. Lalu hilanglah kemesraan, terbanglah kehangatan dan lenyaplah gurauan. Lantas yang tinggal hanyalah ‘robot-robot’ yang bekerja menyelesaikan tugas harian kepada keluarga.

Lebih teruk lagi, anak-anak akan mula memancing pujian daripada Facebook, Twitter dan lain-lain media yang mampu dicapai mereka. Ibu bapa pula akan menjadi ‘banker’ keluarga dan food provider sahaja.

Akhirnya kesunyian akan melanda bila sudah hilang keceriaan dalam keluarga. Akibatnya perbuatan meluahkan rasa sayang dan cinta sudah tidak lagi menjadi agenda kecuali hanya kepada pasangan yang sedang dilambung cinta.

Disebabkan jiwa kosong dengan kasih sayang, maka kita juga tidak akan mampu mewariskan kasih sayang tersebut secara paling baik, berkesan dan berpanjangan.

Akibatnya, lahirlah generasi yang kontang kasih sayang untuk diberikan kepada orang lain walaupun terhadap ahli keluarga rapat seperti ibu bapa, adik-beradik, rakan dan sahabat.

Dan tidak mustahil kita juga akan menjadi seorang yang mementingkan diri, berasa janggal bila bersalam dan mencium tangan serta malu untuk memeluk ibu bapa sendiri.

Sikap sebegini akan lebih cepat melenyapkan kemahuan dan keinginan untuk menyatakan atau meluahkan sebarang perkataan, gerakan, sentuhan yang menggambarkan rasa kasih sayang kepada orang lain.

Memandangkan budaya media sosial yang semakin mendarah daging dalam hati anak-anak hari ini, senyuman akan diberikan bukan lagi kepada ahli keluarga tetapi kepada skrin gajet yang pada mereka lebih menghiburkan.

 

Hidupkan “I LOVE YOU”

Lalu, apakah yang harus dilakukan untuk mengembalikan kasih sayang yang fitrah dalam keluarga kita semula?

Langkah pertama ialah sentiasa ‘menjual’ senyuman walau di mana sahaja, terutama bila bersama anak-anak dan keluarga. Serta murahkan ungkapan “I Love You” buat mereka.

Jadikan “Ibu sayang kamu” sebagai ungkapan yang benar-benar dirasakan oleh anak-anak sebagai yang paling tulen, benar dan ikhlas dari hati, sehingga mereka berasa diri mereka begitu istimewa serta dihargai.

Tidak susah untuk mereka menghargai kasih sayang yang diberikan. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan kaedah. Misalnya, menyediakan keperluan asas anak-anak dalam bentuk paling baik seperti memilih makanan berzat, membantu menyelesaikan masalah dan membantu membuat keputusan.

Memandangkan ungkapan “I Love You” itu mempunyai magnet tersendiri, maka sesiapa yang menerimanya akan berasa bahagia. Biarpun yang menerima itu orang tua, kanak-kanak, wanita dan lelaki.

Berdasarkan dapatan ini, sebab utama mengapa kita perlu mengungkapkan rasa sayang dan cinta kepada orang yang disayangi ialah (jika ibu bapa terhadap anak-anak) kerana mereka amat memerlukannya walau dalam apa bentuk sekalipun.

Langkah ini disandarkan kepada Pencipta kita yang menundukkan apa yang ada di langit dan di bumi, semata-mata untuk hamba-Nya. Cinta Allah  ini dapat dilihat sebagai rahmat yang diberikan untuk kelangsungan hidup di dunia dan akhirat.

Mudah-mudahan, hati kita sentiasa kaya dengan cinta untuk disebarkan pula kepada yang memerlukan. Usah risau, rasa ini tidak akan surut selagi kebergantungannya hanya kepada Yang Maha Esa.

Berkasih sayanglah sentiasa agar kita juga suatu masa nanti akan turut dikasihi sama ada oleh penduduk bumi, apatah lagi yang di langit. Insyaallah.

 

 

BUKU BERKAITAN
    KALENDAR
    Imprint