Tangisan Nabi SAW kerana Menjadi Saksi kepada Seluruh Manusia di Akhirat


Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. dia berkata: Nabi SAW pernah bersabda kepadaku: “Bacakanlah al-Quran untukku." Maka aku pun berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku akan membacanya untuk kamu, padahal kepada kamu al-Quran diturunkan?” Baginda SAW menjawab: “Ya." Lalu aku pun membacakan surah al-Nisa’, sehingga aku sampai pada ayat: “Dan bagaimanakah sekiranya Kami mendatangkan manusia dari seluruh umat dengan seorang saksi, lalu kami mendatangkanmu sebagai saksi ke atas mereka." Maka Baginda SAW pun bersabda kepadaku: “Cukuplah." Lalu aku menoleh ke arah Baginda SAW dan ternyata kedua matanya menitiskan air mata. (HR al-Bukhari no. 4583)

 

Nabi SAW Menjadi Saksi

Firman Allah:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً

“Dan yang demikian itu Kami telah menjadikan kalian (umat Islam) sebagai umat pertengahan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian.” (Surah al-Baqarah: 143)

Terdapat hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW dalam penafsiran ayat ini yang menjelaskan tentang maksud firman Allah: (أمة وسطا) iaitu: yang memiliki sifat adil dan kebaikan. Sedangkan yang dimaksud dengan kesaksian terhadap umat manusia ialah kesaksian terhadap umat terdahulu pada Hari Kiamat bahawa Rasul-rasul mereka telah menyampaikan Risalah Allah kepada mereka. Dan apa yang dituliskan oleh para ulama Tafsir tidak keluar daripada pengertian tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

Nabi Nuh a.s. dipanggil pada Hari Kiamat, dikatakan kepadanya: “Apakah engkau telah menyampaikan Risalahmu?” Beliau menjawab: “Ya sudah.” Lalu dipanggillah kaumnya dan ditanyakan kepada mereka: “Apakah dia telah menyampaikan risalahnya pada kalian?” Kemudian kaumnya menjawab: “Tidak ada seorang pun yang datang menyeru kepada kami.” Lalu dikatakan kepada Nabi Nuh a.s.: “Siapa yang bersaksi untukmu?” Beliau menjawab: “Muhammad dan umatnya.” Rasulullah SAW bersabda: “Maka yang demikian itu firman Allah: ‘Dan yang demikian itu Kami telah menjadikan kalian (umat Islam) sebagai umat pertengahan.’” Yang dimaksud umat pertengahan ialah keadilan. (HR al-Bukhari no. 4487)

BUKU BERKAITAN
  • 40 Kisah Tangisan Rasulullah Dan Para Sahabat
Imprint