TANGISAN SAYIDATINA FATIMAH R.ANHA


Daripada 'Aisyah r.anha, dia berkata: Suatu ketika para isteri Rasulullah SAW sedang berkumpul dan berada di sisi Baginda SAW tanpa ada seorang pun yang tidak hadir ketika itu. Tidak lama kemudian, datanglah Fatimah dengan berjalan kaki yang mana cara berjalannya persis dan tidak berbeza sama sekali dengan cara Rasulullah SAW berjalan. Ketika melihatnya, maka Baginda SAW pun menyambutnya dengan mengucapkan: “Selamat datang wahai puteriku yang tercinta!“

Setelah itu, Baginda SAW mempersilakannya untuk duduk di sebelah kanan atau di sebelah kiri Baginda SAW. Lalu Baginda SAW membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia (Fatimah) menangis tersedu-sedu. Ketika melihat kesedihan Fatimah, maka sekali lagi Rasulullah membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia tersenyum gembira. Lalu aku (‘Aisyah) bertanya kepada Fatimah: “Ya Fatimah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberikan keistimewaan kepadamu dengan membisikkan suatu rahsia di hadapan para isteri Baginda SAW sehingga kamu menangis.”

Setelah Rasulullah SAW berdiri dan berlalu dari tempat itu, aku (‘Aisyah) pun bertanya kepada Fatimah: “Wahai Fatimah, sebenarnya apa yang dikatakan Rasulullah kepadamu ketika berbisik itu?” Fatimah menjawab: “Wahai Ummul Mukminin, sungguh aku tidak ingin menyebarkan rahsia yang telah dibisikkan Rasulullah kepadaku."

Aisyah berkata: Setelah Rasulullah SAW meninggal dunia, aku menghampiri Fatimah seraya bertanya kepadanya: “Wahai Fatimah, aku hanya ingin menanyakan kepadamu tentang apa yang telah dibisikkan Rasulullah kepadamu yang dahulu kamu tidak mahu menjelaskannya kepadaku.”

Fatimah menjawab: “Wahai Ummul Mukminin, sekarang (setelah Rasulullah meninggal dunia) aku akan memberitahu kepadamu. Dulu, ketika Rasulullah SAW membisikkan sesuatu kepadaku, untuk yang pertama kali, Baginda SAW memberitahu bahawasanya Jibril dan Baginda SAW biasanya bertadarus al-Quran satu atau dua kali dalam setiap tahun dan kini Baginda SAW bertadarus kepadanya (Jibril) sebanyak dua kali. Sungguh aku (Rasulullah) tahu bahawa ajalku telah dekat. Oleh kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik salaf adalah aku bagimu.”

Fatimah berkata: “Mendengar bisikan itu, maka aku pun menangis, seperti yang kamu lihat dulu. Ketika Rasulullah SAW melihat kesedihanku, maka Baginda SAW pun berbisik lagi kepadaku: ‘Wahai Fatimah, mahukah kamu menjadi pemimpin para isteri orang-orang Mukmin atau sebaik-baik wanita umat ini?’ Lalu aku pun tertawa seperti yang kamu lihat dahulu. (HR Muslim no. 2450)

BUKU BERKAITAN
  • 40 Kisah Tangisan Rasulullah Dan Para Sahabat
Imprint