Kita Semua Pengembara


Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata; Rasulullah SAW pernah memegang sebahagian daripada tubuhku seraya bersabda: "Wahai Abdullah, jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara, dan persiapkanlah dirimu sebagai calon penghuni kubur." (Hadith riwayat at-Tirmizi, No: 2333, Ibn Majah, No: 4114, Ahmad, No: 4865)

 

Kehidupan ini merupakan satu pengembaraan. Pengembaraan yang penuh dengan tawa dan air mata. Adakala ia dihiasi dengan kegembiraan dan adakala ia diselimut dengan kesedihan. Kita sebagai pengembara mesti ada arah dan tujuan kemana harus pengembaraan ini berakhir.

 

Seperti kehidupan kita setiap tujuan perlu pada pengaturan. Kita harus memilih ke arah mana untuk akhirnya kehidupan kita. Samada syurga atau neraka. Allah SWT bersifat Ar-Rahman (Maha Pengasih). Maha Pengasihnya Allah SWT menyeluruh kepada semua hamba-Nya di atas dunia ini. Manakala di akhirat kelak Allah SWT bersifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), hanya akan memberikan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dengan balasan syurga.

 

Dunia adalah tempat persinggahan dalam perjalanan menuju akhirat. Ianya bersifat sementara dan terlalu singkat sehingga kesempatan dan peluang yang ada tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Ketika sihat sebelum datangnya sakit dan waktu lapang sebelum datangnya waktu sibuk, perlu direbut untuk melakukan amal ibadah serta ketaatan sebelum datangnya ajal. Itulah lumrah sebagai pengembara. Kita tidak akan selamanya berada di jalanan tetapi kita pasti akan pulang ke tempat asal kita.

 

Akhirat pula adalah tempat pembalasan atas setiap amal yang dilakukan di dunia. Oleh itu, lakukanlah persiapan dengan sebaik-baiknya. Bagi mendapatkan kebaikan dalam beramal, seseorang itu hendaklah menganggap diri seperti orang yang sudah mati, tiada lagi cinta kepada dunia bahkan cinta dan rindunya hanya untuk kembali ke akhirat, negeri asalnya yang kekal abadi.

Imprint