ANUGERAH TERINDAH


“Duit raya ni adik nak buat apa?”

“Nak kumpul… nak simpan dalam bank. Nak guna bila dah besar nanti.”

Tulus jawapan yang diberikan. Namun, bait-bait yang diucapkan di mulut tersekat-sekat.

 

Saya bertanya lagi, cuba menerjah apakah cita-cita apabila besar nanti. Mahu jadi apa dan siapa. Walaupun mungkin bagi kebanyakan orang termasuk saya, pada usia belasan tahun seperti ini, cita-cita sebenarnya masih kabur.

 

“Nak jadi jururawat,” ringkas jawapannya. Namun suara ditekan agar menampakkan kesungguhan untuk benar-benar bergelar jururawat kelak.

 

“Adik sekarang ambil jurusan apa?” Soal saya lagi setelah mula tertarik dengan jawapannya tadi.

“Ambil jurusan akauntan.”

Jawapannya membuatkan saya terdiam sambil cuba melirik senyuman.

 

Dia antara 50 orang penghuni rumah anak yatim Titian Kasih, Kuala Lumpur yang diraikan di Hotel De Palma, Ampang sempena sambutan ambang Aidilfitri. Pertemuan itu pula berlaku kira-kira sepuluh tahun lalu, ketika saya masih lagi bergelar seorang wartawan.

 

Ya, merayakan kehadiran mereka untuk bersama-sama menikmati kehidupan ini, walaupun dunia kita dan mereka berbeza.

 

Ramai yang cuba mendekati mereka. Bertanya khabar dan memberikan semangat untuk mendepani cabaran kehidupan. Benar, kerana kemiskinan dan dek kehilangan tempat bergantunglah telah menempatkan mereka di tempat berkenaan. Malah ramai lagi senasib mereka.

 

Lagak riang dan bahagia yang ditonjolkan menarik perhatian. Saya menyertai kalangan media lain dijemput hadir melakarkan liputan majlis meraikan adik-adik istimewa berkenaan. Barangkali mereka memerlukan lebih daripada keraian.

 

Benar, remaja perempuan yang saya temui tadi adalah antara penghuni paling lama berada di sana. Berasal dari Pantai Timur Semenanjung, dia menyaksikan kehidupannya di rumah itu bermula sedari usia 10 tahun. Ketika pertemuan itu, usianya telah menganjak 17 tahun.

 

Perbualan singkat kami terpaksa dihadkan memandangkan dia perlu beredar ke majlis lain yang telah diaturkan. Namun, sebelum berpisah saya cuba menyelami bagaimana sambutan hari lebaran bagi insan sepertinya.

 

“Setiap tahun di sini, saya dan kawan-kawan akan dibawa berjalan-jalan dan menghadiri beberapa majlis yang menjemput kami. Itu sahaja,” katanya riang.

 

“Abang tak nak tanya mengenai ibu bapa dan keluarga saya ke?” Kali ini dia pula menyoal seolah-olah dapat meneka apa yang bermain di fikiran saya.

 

Saya mengangguk perlahan. Rasa bersalah juga. Bimbang jika emosinya terganggu.

 

“Tak apa bang. Kami pun dah lali. Bukan abang seorang yang bertanya. Ramai lagi. Apa yang mampu saya lakukan. Ayah dah meninggal dunia tujuh tahun lalu. Emak pun dah tiada. Abang-abang saya juga ada kehidupan mereka masing-masing. Jadi, saya raya di sinilah,” ujarnya tulus.

 

“Bagaimana dengan kehidupan di hari biasa? Selain hari raya?” soal saya lagi.

 

“Ya, saya lalui seperti biasa. Mujur ada kawan-kawan. Merekalah tempat saya menumpang kasih. Beginilah kehidupan kami yang telah tiada ibu bapa. Tapi, ingat ya, jangan ingat kami lemah. Kami kuat sebenarnya,” ujarnya.

 

Begitulah kehidupan ini. Kita tidak boleh memilih untuk menjadi anak siapa. Kita tidak boleh memilih untuk melahirkan anak yang bagaimana. Namun, takdir setiap insan itu semestinya berbeza. Mereka tidak memilih untuk dilahirkan sebagai anak yatim piatu. Bahkan mereka sebenarnya tersangat ingin berada bersama ibu bapa sendiri.

 

Maka beruntunglah bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa. Begitu juga mereka yang pernah punya kedua orang tua dan menikmati erti kasih sayang. Ketika ada segelintir daripada kita yang tidak pernah berpeluang menikmati nikmat berkenaan.

 

Sungguh, ibu bapa adalah anugerah untuk kita. Berbaktilah kepada mereka selagi masih punya masa.

Imprint