Tangisan Abu Hurairah r.a. Sehingga Pengsan


Syufaiya al-Ashbahi telah menyampaikan bahawa beliau masuk ke Madinah, ternyata ada seseorang yang dikerumuni oleh orang ramai. Syufaiya bertanya: “Siapa dia?” Mereka menjawab: “Abu Hurairah.”

Aku mendekatinya sehingga aku duduk di hadapannya sementara beliau sedang menceritakan (sesuatu) kepada orang ramai.

Ketika beliau diam dan selesai, aku berkata padanya: “Aku bersumpah dengan kebenaran dan dengan kebenaran, ceritakanlah suatu hadis padaku yang engkau dengar daripada Rasulullah SAW yang engkau fahami dan yang engkau ketahui.”

Abu Hurairah berkata: “Baik, aku akan menceritakan suatu hadis kepadamu yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepadaku yang aku fahami dan aku ketahui.”

Abu Hurairah menangis teresak-esak, setelah itu beliau diam sejenak. Setelah reda beliau berkata: “Aku akan menceritakan kepadamu hadis yang diceritakan Rasulullah SAW kepadaku, aku dan Baginda SAW di rumah ini, tidak ada orang lain bersamaku.”

Setelah itu, Abu Hurairah menangis teresak-esak lagi, setelah reda beliau membasuh wajahnya.

Lalu beliau berkata: “Baik, aku akan menceritakan suatu hadis kepadamu yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepadaku, aku bersama Baginda SAW di rumah ini, tidak ada orang lain bersama Baginda SAW selain aku.”

Setelah itu, Abu Hurairah menangis teresak-esak dengan lebih kuat. Kemudian beliau jatuh tersungkur di atas wajahnya lalu aku menyandarkannya di badanku selang berapa lama.

Setelah sedar, beliau berkata: “Telah menceritakan kepadaku Rasulullah SAW, bahawa Allah Tabaaraka wa Ta'ala pada Hari Kiamat akan turun kepada para hamba untuk memutuskan di antara mereka dan masing-masing ummat berlutut. Orang pertama yang dipanggil adalah penghafal al-Quran, orang yang terbunuh di jalan Allah dan orang yang banyak hartanya.

Lalu Allah berkata kepada penghafal al-Quran: Bukankah Aku mengajarimu sesuatu yang Aku turunkan pada Rasul-Ku? Dia menjawab: ‘Benar, wahai Rabb.’ Allah bertanya: Apa yang engkau amalkan daripada ilmu yang diajarkan kepadamu? Dia menjawab: ‘Dengannya, dulu aku bangun solat pada malam hari dan pada siang hari.’ Allah berfirman padanya: ‘Engkau dusta.’ Para malaikat berkata kepadanya: ‘Engkau dusta.’ Allah berfirman: Tapi engkau ingin memperoleh pujian bahawa si fulan ahli baca al-Quran dan memang telah engkau peroleh perkara itu.

Setelah itu, pemilik harta didatangkan lalu Allah bertanya kepadanya: Bukankah Aku melapangkan rezekimu sehingga Aku tidak membiarkanmu memerlukan kepada sesiapa pun? Orang itu menjawab: ‘Benar, wahai Rabb.’ Allah bertanya: Lalu apa yang engkau lakukan dengan apa yang Aku berikan kepadamu? Dia menjawab: ‘Aku menyambung silaturrahim dan bersedekah.’ Allah berfirman kepadanya: ‘Engkau dusta.’ Para malaikat berkata kepadanya: ‘Engkau dusta.’ Allah berfirman: Tapi engkau ingin peroleh gelaran bahawa si fulan dermawan dan memang telah engkau peroleh gelaran itu.

Kemudian orang yang terbunuh di jalan Allah didatangkan, Allah bertanya kepadanya: Kerana apa engkau terbunuh? Dia menjawab: ‘Aku diperintahkan berjihad di jalan-Mu lalu aku berperang sehingga aku terbunuh.’ Allah berfirman kepadanya: ‘Engkau dusta. Para malaikat berkata kepadanya: ‘Engkau dusta.’ Allah berfirman: Tapi engkau ingin peroleh gelaran si fulan pemberani dan menang telah engkau peroleh gelaran itu. Setelah itu, Rasulullah SAW menepuk lututku dan bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itulah makhluk Allah pertama kali yang neraka dinyalakan kerana mereka pada Hari Kiamat." (HR al-Tirmizi no. 2382, Sahih)

 

BUKU BERKAITAN
  • 40 Kisah Tangisan Rasulullah Dan Para Sahabat
KALENDAR
Imprint