Perangai Anak Macam Musibat!


Rasanya semua sedia maklum dengan minat saya yang suka bercucuk tanam. I love gardening! Saya suka menanam banyak jenis pokok kerana setiap tanaman memerlukan penjagaan dan keperluan berbeza. Jadi, untuk kita melihat hasilnya mungkin akan memakan masa panjang. Ada pokok yang cepat, ada pokok yang lambat.

Ada tanaman tak perlu dijaga rapi pun boleh nampak hasilnya. Ada pula yang dah mencekik beratus-ratus ringgit belanja baja dan dibela sebaik mungkin pun masih tak nampak bunganya. Itu belum lagi apabila ada pokok yang membantut tak besar-besar. Bila dah besar tidak cantik pula! Kadang-kadang terfikir, kalau nak mati, matilah cepat. Tak payahlah ikut tabiat manusia juga. Menyusahkan orang lain!

Saya nak membebel sikit tentang anak-anak muda zaman sekarang. Seumur hidup emak bapa dah besarkan, dah bagi makan minum yang cukup tapi tetap kurang ajar dan masih menyusahkan walaupun sudah besar panjang. Bukan sahaja dalam berita dan akhbar, malah di sekeliling kita selalu saja terdengar kisah anak-anak berperangai musibat!

Bila bercakap secara open macam ini ada pula yang kata saya bermulut jahat. Sibuk menegur anak orang lain, sibuk mengkritik cara sesetengah ibu bapa membesarkan anak-anak mereka. Agaknya perangai ibu bapa yang tak boleh dikritik dan disentuh ini pun sama berperangai haram jadah kepada emak bapa ketika mereka membesar dulu?

Kita kena ingat, kita tidak selamanya hidup di bawah payung ibu bapa. Bila tiba masanya, kita perlu berdiri di atas tapak kaki sendiri dan sedia memikul tanggungjawab. Sepatutnya pada waktu muda inilah kita menceduk sebanyak mana ilmu daripada ibu bapa bukannya bersifat kurang ajar.

Paling menyedihkan jika sifat kurang ajar ini turut dibawa ke tempat mencari rezeki. Akhirnya, rezeki yang dicari tidak berkat malah dibenci oleh rakan sekerja. Subhanallah… Nasihat saya kepada anak-anak muda hari ini, cubalah menjadi manusia yang bertanggungjawab dan sentiasa menghormati ibu bapa. Cubalah untuk tidak menyusahkan mereka kerana sudah terlalu banyak pengorbanan mereka untuk membesarkan kita.

Hidup ini simple. Bangkit dan lakukan hingga berjaya. Di sepanjang perjalanan hidup ini jika ditegur oleh ibu bapa, percayalah mereka hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak.

Anak-anak juga umpama tanaman. Perlu dijaga dan dibaja agar membuahkan hasil baik satu hari nanti. Pelajaran dan teguran mereka adalah pelita yang akan menyuluh masa depan kita. Jangan lupa nasihat saya ni!

CW: Dari kecil lagi tak sanggup tengok emak bapa saya menitiskan air mata. 

Sedutan kisah dari buku yang ditulis oleh Chef Wan, Ada Aku Kesah? Banyak isu-isu yang dibangkitkan untuk memupuk kesedaran masyarakat dan iktibar. Siapa lagi yang berani nak tegur kalau bukan orang-orang berpengalaman yang sudah ‘lebih makan garam’. Tak gitu?

BUKU BERKAITAN
  • ada aku kesah?
KALENDAR
Imprint