Berbaik sangkalah dengan Allah…


Ketika Allah Mengujimu…

Wang syiling lebih kurang 70 sen di tapak tangan saya tenung sejenak. Kemudian sekali lagi membelek-belek beg duit. Mencari-cari jika ada saki-baki wang syiling lain. Ternyata tidak ada. Sedangkan perut saya benar-benar lapar pagi itu. Sebaik menunaikan solat subuh berjemaah, saya termanggu sebentar di tangga surau.

Kepingan syiling berkenaan kemudian saya masukkan ke dalam tabung surau. Peristiwa itu berlaku di suatu pagi Sabtu, sekitar tahun 2008, ketika saya masih lagi bujang. Apalah yang boleh dibeli dengan jumlah sebanyak itu, fikir saya sambil ligat memikirkan, apakah pula yang boleh saya alas perut.

Ya, selepas itu dengan menaiki motosikal, saya terus ofis untuk mengambil kereta syarikat. Pagi itu sebenarnya saya perlu ke sebuah Institusi Pengajian Pengajian Awam (IPTA) kerana diminta menyampaikan perkongsian kerjaya bersama pelajar tahun akhir.

Namun, sebaik selesai mendaftar kenderaan syarikat, sekali lagi saya buntu. Bagaimanakah hendak membayar tol? Aduh, parah benar rasanya. Lebih parah, otak mula memikirkan bagaimana pula hendak makan malam nanti. Sedangkan saya benar-benar putus bekalan wang. Gaji hanya akan masuk dua hari lagi.

“Jika engkau susah, mintalah pada Allah. Solat dan berdoalah. Pasti Allah kabulkan.”

Ya, teringat kata-kata guru. Ketika saya benar-benar memerlukan pertolongan. Teringat, kadang-kala saya juga tidak mensyukuri nikmat. Membazir dan berbelanja kepada perkara yang tidak menjadi keutamaan pun. Hari itu, saya sangat insaf. Ketika fikiran juga tidak mampu memikirkan kepada siapa harus meminta pertolongan. Kecuali Allah.

Teringat kata-kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinnannya:

“Jikalau aku diam, aku akan berlapar. Sekiranya aku meminta kepada manusia, aku hanya akan menambah malu di muka.”

Kemudian, dengan kaki yang semakin longlai, saya melangkah ke surau ofis. Mencermati setiap langkah mengambil wuduk. Kemudian menunai solat sunat dua rakaat. Selepas itu, saya benar-benar berdoa. Mengharapkan bantuan agar Allah SWT menolong saya. Tanpa perlu saya meminta-minta kepada manusia.

Fikiran yang sedikit berserabut, cuba saya tenangkan dengan berbaring di surau berkenaan. Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Seorang kawan menghubungi mengajak saya ke IPTA yang sama dengan menaiki kenderaannya. Sebaik talian ditamatkan, saya segera bersujud syukur. Allah SWT menjawab permintaan saya. Hanya dengan secebis doa.

Berbaik sangkalah dengan Allah…

Perut yang lapar dapat saya alaskan dengan sedikit kuih dan secawan kopi yang disediakan penganjur. Ketika sedang menyampaikan perkongsian di dalam sebuah bilik dewa yang memuatkan kira-kira 50 peserta, mata kami terpandang sesuatu. Ya, dua buah hamper mengandungi pelbagai makanan diletakkan di hadapan kami.

Saya dan teman tadi kemudian saling berpandangan. Saya kemudian berkata dalam hati:

“Alhamdulillah, lepaslah makan malam aku malam ini.”

Selesai majlis, saya dan teman beransur untuk pulang. Namun, kelibat hamper berkenaan sudah tidak ada. Teman yang tadi sedikit teruja, melepaskan sedikit keluhan. Nampaknya tiada rezeki kami.

“Tidak mengapalah. Marilah kita berbaik sangka dengan Allah. Mungkin itu bukan yang terbaik untuk kita,” ujar teman.

Ketika kaki melangkah masuk ke dalam kereta, pihak penganjur memanggil-manggil nama kami. Hati bertanya, masalah apakah pula yang sedang menanti.

“Maafkan saya. Sebenarnya kami perlukan tandatangan encik berdua di borang ini. Ada sedikit saguhati untuk encik,” ujar wakil penganjur sambil menghulurkan sehelai borang untuk ditandatangan.

Sampul surat berwarna putih berada di tangan kami masing-masing. Ketika kereta yang dipandu teman mula meninggalkan pintu pagar IPTA berkenaan, saya membuka sampul surat berkenaan. Hati terkejut, bahkan hampir menitiskan air mata.

Wang not RM50.00 sebanyak lapan keping itu benar-benar membuatkan saya sebak. Betapa Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Betapa hanya sedekah sedikit cuma dan secebis doa, Allah mengganjari dengan pertolongan yang tidak disangka-sangka.

Benar. Janganlah kita cepat bersangkau buruk terhadap-Nya. Kisah saya ini barangkali hanya secebis cuma di sebalik banyaknya kisah pertolongan Allah SWT terhadap ramai lagi manusia di luar sana. Ada dengan cara logik akal, malah ada yang di luar jangkaan manusia itu sendiri.

Begitulah Allah. Dalam setiap ujian yang diberikan, ada hikmah dan pengajaran yang wajar diambil setiap insan. Ujian kita barangkali tidak diberikan kepada orang lain kerana bimbang mereka tidak memikulnya. Ujian orang lain tidak diberikan kepada kita kerana bimbang kita tenggelam punca.

Hari ini kita mungkin hebat. Esok lusa mungkin kita merempat. Ketika ini mungkin kita terjatuh, hari mendatang, mungkin kita ditakdirkan sebagai pemenang. Sebenarnya banyak lagi kisah di sebalik kepayahan yang saya lalui dan Allah SWT sentiasa membantu diri ini. Samada cepat atau lambat.

Melalui kehidupan ini, di sebalik himpitan, kekecewaan, kegagalan dan kesedihan, kita jangan terlupa bahawa Allah SWT sentiasa ada. Benar, ada kalanya api perjuangan kita awalnya berkobar-kobar, kemudian surut semula, namun Kita tidak keseorangan. Ujian, hanyalah salah satu neraca-Nya untuk menguji kita.

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali).” (Surah al-Baqarah: 155-156).

 

 

BUKU BERKAITAN
    KALENDAR
    Imprint