Lima Kisah Seram di Lebuh Raya Karak -“Jangan baca jika anda takut!”


Lima Kisah Seram di Lebuh Raya Karak -“Jangan baca jika anda takut!”

1. "Nampak emak saya tak?"

Seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Ramai juga yang memilih untuk menggunakan Lebuh Raya Karak kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya dan juga bahang panas matahari.

Akibat terlalu penat dan mengantuk pada malam itu, lelaki ini memilih untuk berhenti di bahu jalan dan tidur di dalam kereta.

Baru sahaja beberapa minit terlelap, dia kembali dikejutkan dengan bunyi ketukan tingkap dari luar. Rupa-rupanya ada seorang budak lelaki yang merenungnya tanpa berkelip dan bertanya di mana ibunya.

Tanpa berfikir panjang, nalurinya kuat mengatakan dia harus menghidupkan enjin kereta dan memecut laju tanpa mempedulikan budak misteri itu. Namun, budak itu terus mengejar dengan laju dan bertanya tanpa henti di mana ibunya.

Kemudian, sebuah kereta polis peronda pun muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah, ‘hantu budak sesat cari ibu’ itu menghilangkan diri. Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun menceritakan semuanya kepada pegawai polis. Pegawai polis memberitahu;

Suatu ketika dahulu, ada kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta itu tidak memaki tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak itu telah tercampak keluar dari kereta. Manakala budak itu kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.

Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu.

2. Misteri Volkswagen kuning

Hantu Volkswagen kuning ini dipercayai mula mengganggu kenderaan di Lebuh Raya Karak sejak tahun 1956.

Tetapi selepas Lebuh Raya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang, sejak itulah hantu Volkswagen kuning semakin ketara muncul dengan mengganggu kenderaan yang lalu-lalang di situ. Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah seorang isteri curang yang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya.

Si suami mati sambil menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning itu. Kenyataannya, jika benar hantu Volkswagen kuning ini wujud dan pernah dilihat orang, maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam.

Volkswagen ini akan muncul secara tiba-tiba dan jika ada pemandu memotong kereta itu, ia akan berada di hadapan secara mengejut. Dipercayai, kemalangan berlaku disebabkan gangguan Volkswagen kuning.

Menurut pengalaman seorang pelajar UIA yang datang dari Gombak menuju ke Temerloh dengan motosikal pernah melalui dan tersermpak dengan kereta kuning di lebuh raya itu pada tahun 2009 pada waktu senja kira-kira jam 7.30. Disebabkan beliau mengetahui akan misteri itu, beliau hanya ambil langkah bertenang dan tidak memotong kereta itu. Dan…. kereta itu bergerak tanpa pemandu!

3. Macam pontianak.

Tanpa berfikir panjang, pintu kereta ditutup. Saifullah menekan pedal minyak semahunya. Malik menekup muka, Azizi pula menenangkannya. Tingkap yang sebelum itu dibiarkan terbuka pantas ditutup. Hadi bertanya, apa yang mereka nampak dan kenapa ketakutan sampai begitu sekali.

“Aku rasa aku nampak pontianak. Dia tengah baring terlentang atas but kereta kau tapi muka dia menghadap kita. Masa aku toleh ke belakang tadi, mata aku betul-betul nampak mata dia,” kata Saifullah ketika menceritakan detik cemas dia dan rakan-rakannya disapa makhluk halus di Lebuh Raya Karak.

Selepas mendengar pengakuan rakannya, Hadi cuba pandang ke belakang menerusi cermin sisi.

“Pul, betullah. Aku nampak ada ‘benda’ kat belakang,” kata Hadi.

Mendengarkan kata Hadi, kami semua tidak putus-putus membaca kalimah al-Quran. Hadi pula beberapa kali mengalunkan azan dalam tempoh 15 minit.

Apabila keadaan menjadi tenang, baru empat sekawan ini faham mengapa lori dan kereta yang memintas mereka menyalakan lampu besar.

“Mungkin mereka nak beritahu kita pasal lembaga tu, tetapi kita yang tak faham. Mujur juga mereka masih boleh mengawal kenderaan kerana panik dan takut melampau juga boleh mengundang kemalangan,” jelasnya yang sehingga kini mengelak untuk melalui Lebuh Raya Karak pada waktu malam.

Tidak menolak kewujudan entiti di laluan berkenaan, ramai yang berpendapat kawasan di sepanjang lebuh raya tersebut memang keras. Menerusi carian di beberapa blog yang memaparkan cerita seram, sudah ramai yang disakat oleh makhluk halus terutama jika melaluinya pada waktu malam.

Ada yang mengaitkan gangguan-gangguan itu terjadi ekoran kemalangan maut yang kerap berlaku di situ. Ada juga yang berpendapat kawasan itu memang ‘keras’ kerana merupakan tapak asal perkuburan lama.

4. Kereta rosak dan tersadai di tepi lebuh raya

Sepasang suami isteri yang masih muda bersama bayi mereka sedang dalam perjalanan di Lebuh Raya Karak. Ketika itu, waktu malam. Semasa si suami sedang asyik memandu, tiba-tiba, kereta yang dipandunya menghadapi masalah dan enjin terus mati.

Si suami terkejut kerana dia yakin sudah memeriksa kereta itu sebelum memulakan perjalanan jauh demi keselamatan keluarganya. Akibat tiada pilihan lain, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan.

Si suami keluar untuk periksa enjin kereta itu manakala si isteri bersama anak mereka menunggu di dalam kereta. Selepas beberapa minit, si suami kembali semula dan memberitahu yang dia tak jumpa apa-apa masalah dan cuba untuk menghidupkan kereta itu lagi. Malangnya, enjin masih gagal untuk dihidupkan. Akhirnya, si suami terpaksa membuat keputusan yang sukar, sama ada tunggu sahaja sampai kereta lain lalu atau cari pondok telefon berdekatan.

Tidak ingin meninggalkan keluarganya, si suami mengambil keputusan untuk menunggu. Namun, setelah 20 minit menanti, tiada satu kereta pun yang lalu di situ. Si suami tiada pilihan, dia nekad untuk cari pondok telefon berdekatan.

Sebelum pergi, dia menasihati isterinya mengunci pintu kereta. Dengan berat hati, dia meninggalkan isteri dan anaknya. Si isteri hanya melihat suaminya berjalan pergi dengan penuh kerisauan. Dia berdoa agar seseorang akan ternampak kereta mereka yang rosak dan menawarkan bantuan. Dia juga khuatir jika kemalangan terjadi di Lebuh Raya Karak.

Berjam-jam berlalu, si isteri mula bertambah risau. Dia risau jika sesuatu terjadi kepada suaminya.

Tiba-tiba, dia terlihat cahaya biru dan merah yang datang dari kereta peronda. Melalui cermin pandang belakang, dia nampak seorang anggota polis keluar dari kereta dan menuju ke arahnya. Mereka meminta si isteri untuk keluar dari kereta rosak itu secara senyap dan jangan pandang belakang.

Si isteri keluar (bersama bayi) dan berjalan ke arah kereta polis dengan anggotanya. Bila dia sudah berada di jarak yang selamat, dia pun menoleh ke belakang dan terlihat kepala tanpa badan suaminya di atas kereta mereka. Sehingga hari ini, badan si suami masih belum ditemui.

Dipercayai, sepanjang menunggu suaminya pulang ke kereta dari pondok telefon, terdapat beberapa bunyi dentuman datang dari atas bumbung kereta itu.

5. Panggilan seram 

Suatu malam, seorang DJ Radio pada tahun 90-an mengadakan satu rancangan berkongsi cerita-cerita seram. Ada seorang pemanggil call dan ceritakan satu pengalaman ngeri. Cerita itu boleh didengari secara langsung oleh semua pendengar seluruh Malaysia.

Pemanggil itu menceritakan pengalaman dia sedang memandu malam di sebuah lebuh raya bersama isteri, anak dan kedua orang tuanya yang mana kemudian mereka terlibat dalam satu kemalangan tragik. Kereta yang dipandu itu terjatuh ke dalam gaung.

Dia memberitahu dia sangat sedih kerana kedua orang tuanya dan seluruh ahli keluarganya meninggal dunia akibat kemalangan itu. Akhir sekali, dia berkata dia nampak dirinya juga mati di tempat kejadian, diikuti dengan ilai tawa dan kemudian talian terus terputus!

DJ radio berkenaan cuba memanggil semula beberapa kali dan panggilan tidak dapat disambung lagi. Beberapa minit kemudian, rancangan kembali seperti biasa. Ramai yang menyangka ia hanya sekadar satu panggilan palsu atau prank call.

Namun keesokan harinya, di akhbar terpampang berita mengenai kemalangan di kilometer yang sama seperti yang diceritakan oleh si pemanggil radio malam tadi. Dan mangsa yang mati adalah dua orang warga emas, seorang kanak-kanak dan sepasang suami isteri!

DJ radio berkenaan terkejut lalu cuba mendengar semula rakaman malam tadi daripada pemanggil misteri itu, namun rakaman hanya dipenuhi dengan bunyi senyap yang mengerikan!

Sumber: Farouq Johari/says.com

Inginkan cerita yang lebih seram dan mengerikan? Boleh dapatkan Novel Projek Seram HIGHWAY, gabungan empat penulis hebat; Saidee Nor Azam, Sufi Abqari, Akma Saidon dan Ninie Othman.

Banyak kisah seram yang mereka kongsikan dalam buku ini.Jom, sama-sama kita baca dan selami dunia misteri ini.

Yang baik jadikan pengajaran, yang buruk kita campak jauh-jauh. Hanya yang terbaik daripada BUKU PRIMA.

BUKU BERKAITAN
  • projek seram highway
Imprint