CINTA RASULULLAH MEMBAWA KE SYURGA


Dari Anas bin Malik, dia mengatakan bahawa seseorang telah  bertanya pada Nabi Muhammad SAW,

“Bilakah terjadinya hari kiamat, wahai Rasulullah?” Baginda SAW berkata, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Orang tersebut menjawab, “Aku tidaklah mempersiapkan untuk menghadapi hari tersebut dengan banyak solat, banyak berpuasa dan banyak bersedekah. Tetapi yang aku persiapkan adalah cinta Allah dan Rasul-Nya.” Baginda Rasulullah SAW berkata,

“(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.” (Riwayat Bukhari no. 6171 dan Muslim no. 2639)

Ertinya kalau seseorang itu benar-benar mencintai Rasulullah, maka dia akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak, yakni di dalam syurga.  Cinta kepada Rasulullah ialah tiket untuk kita bersama dengannya di dalam syurga.

Dengan siapa kita akan bersama di akhirat nanti, boleh diagak dengan bertanya siapakah yang paling kita cintai di dunia ini.

Cinta itu boleh dikenali dengan banyak mengingati, dan banyak mengingati itu tandanya ada pada mulut yang banyak menyebut. Cinta juga melahirkan rindu. Hati yang penuh dengan cinta menyebabkan seseorang itu akan sentiasa rindu untuk bertemu. Hati yang bercinta juga, akan gembira bila bertemu, dan akan sedih apabila berpisah. Orang yang bercinta mudah menangis apabila terpisah dan berjauh.

Jadi tanya pada hati kita, di manakah Rasulullah di hati kita? Apakah banyak kita mengingati Rasulullah? apakah mulut kita banyak berselawat ataupun menyebut nama Rasulullah? Apakah suatu yang menggembirakan kita apabila kita dapat berbuat sesuatu yang menyukakan hati Rasulullah? Dan apakah kita pernah menangis kerana Rasulullah?

Dan apakah kita pernah bimbangkan dan bersedih apabila kita baca sirah Rasulullah, bagaimana Rasulullah di hina, bagaimana Rasulullah diusir, cuba dibunuh dan dapat berkongsi rasa dengan baginda  bagaimana kesedihan Rasulullah menghadapi kematian demi kematian dalam hidupnya?

Jika kita mengaku cintakan Rasulullah SAW, bermuhasabahlah dan berselawat kepada Baginda sehari semalam. Selawat itu tanda ingatan. Setelah banyak mengingat dengan berselawat, tentulah rasa rindu untuk bertemu semakin mendalam. Ya, cinta dan rindu sangat sinonim.

Imprint