PENGORBANAN SEORANG ANAK


PENGORBANAN SEORANG ANAK

Kita sering mendengar dan diperingatkan tentang pengorbanan seorang ibu bapa terhadap anak-anaknya. Begitu besar pengorbanan yang mereka lakukan. Namun, bagaimana pula pengorbanan seorang anak yang soleh kepada ibu bapanya? Adakah kita sebagai seorang anak tidak mampu ‘berkorban’ demi kebaikan ibu bapa kita? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga akan lebih mengutamakan isteri dan anak masing-masing berbanding tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

Berikut merupakan 10 cara untuk kita ‘berkorban’ demi ibu bapa yang tersayang:

1- Mencurahkan kasih sayang.

Layani mereka dengan penuh kasih sayang. Ini kerana mereka telah mendidik kita dengan kasih sayang sejak kita kecil. Walau apa pun karenah mereka, sayangilah mereka seadanya. Kita juga berharap agar Allah mengasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi kita semasa kecil. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud,

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’: 24)

2- Tidak membangkitkan kemarahan mereka.

Hayatilah kisah ‘Alqamah pada zaman Rasulullah yang merupakan seorang hamba yang taat kepada Allah tetapi ditimpa sakit yang teruk sehingga tidak mampu mengucap saat kematian menghampirinya. Setelah ibunya menerangkan kepada Rasulullah, sebenarnya ibunya itu marah kerana dia mengutamakan isteri lebih daripada ibunya sendiri.

3- Berbuat baik.

Sentiasa berperilaku baik terhadap mereka, bersikap mulia dan tidak melakukan kejahatan ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud,

Dan Kami wajibkan  manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” (Luqman: 14)

4- Menunaikan tanggungjawab.

Wajib bagi seorang Muslim menunaikan hak-hak terhadap kedua ibu bapanya. Juga tidak mengabaikan tanggungjawab seorang anak ke atas mereka. Hak-hak ke atas mereka ini sangat penting kerana kedudukannya adalah selepas menunaikan hak-hak kepada Allah dan Rasul-Nya.

5- Tidak meninggikan nada suara ketika bercakap dengan mereka.

Berkata-katalah dengan lemah lembut dan perkataan yang menyenangkan. Kita ditegah untuk meninggikan suara dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh menyinggung perasaan mereka. Firman Allah yang bermaksud,

Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra’: 23)

6- Mendapatkan berkat daripada mereka atas perbuatan yang dilakukan.

Sekiranya kita mempunyai sesuatu impian, pastikan segala usaha yang dilakukan mendapat redha dan berkat daripada ibu bapa. Kesannya, urusan kita akan dimudahkan oleh Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud,

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” (HR Tirmizi)

7- Melaksanakan permintaan mereka.

Ringankan tulang untuk membantu mereka. Sekiranya ada apa-apa permintaan daripada mereka, hendaklah ditunaikan. Begitu juga membantu dalam mengurangkan beban mereka sama ada dari segi kewangan, tenaga dan sebagainya.

8- Menjaga mereka ketika mereka tua.

Antara kes yang banyak berlaku sekarang adalah mengabaikan ibu bapa dan menghantar mereka ke pusat jagaan orang-orang tua. Ini disebabkan kita sibuk dengan urusan dunia dan tidak sanggup untuk menjaga mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara sendiri ibu bapa yang sudah tua sebagaimana mereka memelihara kita sejak kecil hingga dewasa.

9- Sentiasa berdoa untuk kebaikan mereka.

Antara ciri-ciri anak yang soleh adalah sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud,
”Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.” (HR Muslim).

10- Berbakti juga kepada mereka setelah mereka meninggal dunia.

Antara cara berbakti yang boleh dilakukan setelah mereka meninggal adalah melunaskan hutang-hutang mereka dan melaksanakan segala wasiat yang mereka tinggalkan (wasiat yang menepati syariat Allah). Juga menyambungkan hubungan silaturrahim bersama teman-teman, kaum kerabat dan orang-orang yang disayangi mereka ketika mereka masih hidup.

 

 

Imprint