'Tombiruo: Penunggu Rimba' setaraf filem antarabangsa


KUALA LUMPUR: Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis thriller nukilan Ramlee Awang Murshid telah pun berjaya meraih kutipan RM4 juta dalam tempoh lapan hari tayangan.

Pelakon Farid Kamil yang membawa watak Amiruddin berkata Tombiruo harus menjadi aset penting kepada perfileman negara dan seterusnya ditayangkan ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, nilai komersial, artistik dan pembikinan filem ini setaraf dengan pembikinan filem luar.

'Filem ini setaraf antarabangsa - Farid Kamil'

Tombiruo: Penunggu Rimba berkisarkan mitos yang wujud di dalam legenda hutan tebal masyarakat di Sabah yang dianggap hantu atau roh jahat.
 

Namun, ia sebenarnya seorang manusia berwajah tidak sempurna yang bertindak sebagai penjaga rimba.

'Pembikinan sekuel Tombiruo: Penunggu Rimba lebih mencabar'  - Ramlee

Penulis thriller tersohor negara Ramlee Awang Murshid berharap sekual untuk filem Tombiruo: Penunggu Rimba akan dapat diterbitkan tidak lama lagi.

Katanya, beliau percaya semua pihak yang terlibat dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba” akan memutuskan mengenai sambungan filem berkenaan sekiranya ia mendapat sambutan hangat.

Jelasnya beliau sudahpun membayangkan skrip bagi filem sekuel terbabit yang akan diadaptasi dari novel Tombiruo: Semangat Hutan.

Begitupun, pembikinan filem ini mungkin lebih sukar memandangkan ia akan melibatkan babak pertarungan yang lebih mencabar.

'Tombiruo: Penunggu Rimba sarat dengan mesej kasih sayang' - Hasnul

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu di Malaysia, Ramlee Awang Murshid sarat dengan mesej kemanusiaan dan kasih sayang yang harus diselami oleh setiap penonton.

Filem ini ada bayangan antara watak baik dan jahat dan amat berpegang pada naskah asal karya penulisnya. kata Hasnul yang mendokong watak Juslan dalam filem itu.

“Ia bukan hanya filem aksi tetapi padat dengan nilai spiritual iaitu kasih sayang terhadap alam semula jadi, ibu bapa dan pada tuhan, spiritual antara alam rimba dan alam hutan batu," tambahnya.

'Tombiruo: Penunggu Rimba" satu aset negara' - Farah

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba adalah filem dan aset negara yang harus dibawa ke luar negara.

Farah Ahmad yang memainkan watak bobohizan dalam filem ini berkata cerita ini mewakili warna Malaysia dan ia bukan hanya harus ditonton oleh rakyat negara kita sahaja.

Filem ini boleh dilabelkan sebagai satu filem aset negara kerana memaparkan keunikan budaya dan keindahan khazanah hutan negara yang tidak ternilai.

Sumber : Astro Awani

BUKU BERKAITAN
    KALENDAR
    Imprint