Soalan: Setiap
yang bernyawa pasti akan mati. Persoalannya, apakah persedian yang harus
dilakukan oleh kita yang masih hidup untuk menghadapi sebuah kematian indah?
Jawapan:alam hidup ini kita perlu merancang. Apa jua yang dilakukan,
memerlukan perancangan agar ia dapat dilakukan dengan baik dan tiada kesilapan
yang berlaku. Bahkan, untuk kematian juga memerlukan perancangan teliti agar di
akhirat kelak tiada penyesalan apatah lagi rasa ingin kembali semula ke dunia
untuk beribadat walau sekejap cuma.
Alam Barzakh
Dalam Islam, kematian bukanlah sebuah pengakhiran, malah ia
merupakan permulaan siri perjalanan yang panjang dan abadi. Alam kubur
merupakan perantaraan untuk menunggu hari kiamat iaitu hari pembalasan daripada
Yang Maha Adil. Alam tersebut merupakan alam mencabar. Alam yang mungkin
menjadi satu taman daripada taman-taman syurga atau mungkin menjadi satu lubang
daripada lubang-lubang neraka. Namun, alam kubur ini adalah satu hakikat yang
akan ditempuhi oleh setiap insan. Dan ini jugalah yang ditempuhi oleh Anwar
sekarang. Mudah-mudahan Anwar menghadapi hari-hari yang aman di sana...
Tetapi dalam mengukur diri ini, saya teringat akan senarai
yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (2011), yang berkaitan dengan
amalan seseorang yang membolehkan mendapat seksaan kubur. Mudah-mudahan perkara
tersebut menjadikan kita lebih sedar dan berhati-hati dalam setiap perkara yang
dilakukan:
• Melaksanakan
hukum yang tidak ditetapkan ALLAH SWT.
• Memberi
fatwa bertentangan dengan apa yang disyariatkan ALLAH SWT.
• Membunuh
jiwa yang diharamkan untuk membunuhnya.
• Menggugurkan
dan mengingkari hak-hak asma’ ALLAH SWT dan sifat-sifat-NYA.
• Mendahului
pendapat dan jalan fikiran sendiri daripada sunnah Rasulullah SAW.
• Meratap tangis yang keterlaluan
jika salah seorang daripada anggota keluarga meninggal dunia.
• Mendendangkan
lagu yang diharamkan oleh ALLAH SWT dan Rasul.
• Mendirikan
masjid di atas kuburan dan menyalakan lampu-lampu di atasnya.
• Membuat curang dan tidak jujur
dalam timbangan, melebihkan untuk
dirinya dan mengurangkan untuk orang lain.
• Bertindak
zalim dan sewenang-wenangnya dalam melakukan sesuatu.
• Sombong.
• Riak.
• Mengolok-olokkan
orang lain.
• Mencela
golongan salaf.
• Mendatangi dukun, peramal dan ahli
nujum, untuk bertanya pelbagai perkara dan mempercayainya.
• Membantu
orang zalim yang menjual akhiratnya dengan dunia.
• Tidak
mengindahkan amaran agar takut kepada ALLAH SWT dan melakukan kemungkaran.
• Mendapat
petunjuk daripada ALLAH dan Rasul tetapi tidak menghirau dan mengamalkannya.
• Mudah
mempercayai kata-kata batil.
• Mendengar al-Quran, tetapi hati
tidak tersentuh dengan makna dan pengajarannya. Sebaliknya lebih leka dengan
kata-kata serta pujuk rayu syaitan, nyanyian dan lagu yang tidak berteraskan
syariat.
• Bersumpah
palsu atas nama ALLAH SWT dan berdusta.
• Bangga dengan tindakan menzalimi
orang ramai atau melakukan penderhakaan secara terang-terangan.
• Mengucapkan kata-kata kotor dan
buruk, umpatan dan penghinaan yang mencerminkan akhlak buruk.
• Menangguhkan pelaksanaan solat
hingga ke akhir waktunya dan tidak mengingati ALLAH SWT kecuali sedikit.
• Tidak
membayar zakat, terutama zakat harta
secara suka rela.
• Tidak
menunaikan haji walaupun sudah berkemampuan.
• Tidak
menunaikan hak walaupun mampu melaksanakan.
• Tidak
mempedulikan harta yang dimiliki sama ada daripada sumber halal atau haram.
• Tidak menyambung silaturahim, tidak
mengasihani orang miskin, janda, anak yatim, haiwan peliharaan dan tidak
mengalakkan orang lain agar mengasihani orang miskin.
Amalan yang Menyelamatkan
Al-Imam Jalaluddin as-Sayuti (2012:1740175), dalam
tulisannya menyatakan bahawa, seksaan mereka yang membuat kejahatan akan
dibebaskan dengan sepuluh sebab, iaitu:
1. Bertaubat
kepada ALLAH.
2. Diberikan
keampunan kepadanya dengan kehendak ALLAH.
3. Berbuat kebaikan sehingga kebaikan
itu menghapuskan kejahatan sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran,
“Sesungguhnya perbuatan baik itu akan menghapuskan dosa dan perbuatan jahat.”
4. Diuji
dengan pelbagai musibah sehingga hal itu dapat menghapuskan dosa-dosa.
5. Di alam
barzakh, akan dihimpit dan dengan himpitan itu akan menghapuskan dosa-dosanya.
6. Didoakan oleh saudara-saudaranya
sekali gus bermohon kepada ALLAH agar diampunkan dosa.
7. Diberikan
petunjuk melalui pahala amalan yang bermanfaat baginya.
8. Diuji
pada hari kiamat dengan pelbagai hal yang menakutkan.
9. Mendapat
syafaat Nabi Muhammad SAW.
10. Mendapat
rahmat daripada ALLAH SWT.
Kesimpulan
Terlalu banyak amalan dan perbuatan yang menyebabkan
seseorang itu diseksa di alam barzakh. Waspadalah sentiasa agar ‘alam rehat’
itu tidak menjadi suasana yang sukar untuk ditempuhi. Hanya yang buta hati
sahaja akan mengingkari apa yang ditetap dan dijelaskan oleh agama.
Justeru,
alam kubur dengan pelbagai cabaran sewajarnya menginsafkan kita. Sesungguhnya
ALLAH tidak menzalimi hamba-NYA, sebaliknya mereka sendiri yang menafikan
pengajaran dan peringatan yang diberikan sehingga mereka sendiri yang
mengundang celaka!