Antara nikmat terindah yang ALLAH hadiahkan buat kita adalah perasaan
cinta. Betapa hebat nikmat dan anugerah ini sehinggakan sebahagian kita terlupa
siapa diri dan arah tuju di dunia tatkala dilamar oleh rasa cinta ini.
Ramai orang berbicara tentang nikmat cinta dengan bahasa gembira, sehingga
mereka terlupa tentang sempadan yang perlu dijaga. Tidaklah salah sebenarnya membicarakan
soal cinta, tetapi biarlah kita sentiasa sedar dan berwaspada.
Cinta itu fitrah. Ia menghubungkan dua jiwa, bahkan dua
keluarga. Namun jika cuai menjaga, sekelip mata ia bertukar menjadi fitnah.
Jika cuai menjaga, ia mampu bertukar menjadi musibah yang meretakkan ikatan
bersaudara dalam sekelip mata.
Ingatlah. Kita manusia seluruhnya peminjam. Kita meminjam nikmat ALLAH,
meminjam rasa cinta yang diberikan-NYA. Maka biarlah pinjaman kita ini
membuahkan hasil yang hebat apabila kita kembali ke negeri akhirat. Biarlah apa
yang kita pinjam itu menjadi wasilah untuk kita sampai kepada Yang Memberi pinjam,
iaitu ALLAH.
MANISNYA CINTA SI ANAK MUDA ini
dihadiahkan khusus kepada remaja dan sekalian anak muda yang sedang
berjinak-jinak dengan cinta, ataupun sedang asyik dilamun rasa cinta.