Tip Murajaáh Al-Quran Musim PKP




Orang yang sedang dan telah hafaz Al-Quran mesti baca kandungan tulisan ini dengan baik.

.

.

Nota ni saya catat daripada kuliah FB Live Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Bin Mohamad beberapa hari lepas.

Yang paling menarik ialah pesanan dan peringatan beliau kepada guru-guru hafiz. Gunakan sebaik mungkin masa cuti PKP ini untuk muraja’ah Al-Quran.

Amatlah menyedihkan apabila ada guru tasmik sendiri tidak ingat Al-Quran. Macamana nak lahirkan pelajar-pelajar yang ingat Al-Quran kalau guru tasmiknya pun tak ingat Al-Quran?”

Ini bukan pukulan. Ini bukan sindiran. Ini bukan hinaan.

Tapi ini adalah cabaran dan wake up call buat semua terutamanya yang dah bergelar hafiz dan hafizah termasuk diri saya sendiri.

Sama-samalah kita insaf dan ambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Kesibukan bukanlah alasan untuk tidak muraja’ah Al-Quran.

Yang paling penting ialah usaha untuk muraja’ah. Namun jika usaha pun tidak ada, maka apa lagi yang boleh dikata?

Berikut adalah perkara-perkara penting yang disebut dalam kuliah :

 

❤️ Hafazan Al-Quran perlukan ulangan. Tanpa ulangan yang konsisten, Al-Quran yang dihafaz akan hilang.

❤️ Asas hafazan ialah ulangan yang banyak. Kata pepatah Arab;

إذا تكرر تقرر

“Izā takarroro taqorroro”.

“Apabila banyak ulangan, maka kuatlah ingatan”.

❤️ Ibu bapa yang anak-anaknya menghafaz Al-Quran mesti menyusun jadual menghafaz dan mengulang Al-Quran di rumah ketika musim PKP supaya Al-Quran dapat diingat dengan baik

❤️ Ramai ulamak mengingatkan, Al-Quran tidak boleh ditinggalkan tanpa ulangan lebih dari 7 hari.

Maknanya, sebelum cukup 7 hari daripada hari tasmik, Al-Quran mesti sentiasa diulang. Jika tidak, jadilah apa yang kita tak mahu ia terjadi iaitu terpaksa menghafaz semula.

Sebab itulah orang yang mantap hafazannya, akan cuba khatam Al-Quran dalam masa 7 hari atau lebih pendek lagi.

❤️ Dalam situasi Covid-19, peranan penting mesti dimainkan oleh ibu bapa walaupun ibu bapa tidak menghafaz Al-Quran.

❤️ Anak-anak mesti dijadualkan untuk tasmik Al-Quran di hadapan ibu bapa.

❤️ Selain daripada memeriksa hafazan, perlu juga ditekankan pembacaan dengan tajwid yang betul dan pemahaman tentang maksud dan makna ayat.

❤️ Para ulamak Al-Quran silam, mereka tidak akan berpindah untuk menghafaz ayat yang baru melainkan mereka sudah ingat dan faham 5 hingga 10 ayat yang dihafaz.

❤️ Ubah makna ‘rehat’ anak-anak daripada tidur, makan, tengok TV dan bermain gajet kepada aktiviti-aktiviti berasaskan Al-Quran.

❤️ Baca Al-Quran itu satu kerehatan dan ‘sa’ādah’. Baca Al-Quran sepatutnya akan membahagiakan.

Bila dah lama tak baca Al-Quran, akan rasa serba tak kena dan gelisah.

❤️ Jika perlu tasmik atau talaqqi Al-Quran secara online, itu juga amat digalakkan. Cuma, perlu disahkan dengan pertemuan secara fizikal.

 

Ini adalah kepelbagaian cara ambil berat kita tentang hafazan Al-Quran.

❤️ Ibu bapa mesti ambil peranan. Paling kurang mesti ‘paksa’ dan peruntukkan masa selama 1 jam sehari untuk anak-anak bersama Al-Quran.

❤️ Jangan biarkan 1 hari berlalu tanpa ada masa yang khusus untuk bersama Al-Quran, terutamanya bagi anak-anak yang sedang menghafaz Al-Quran.

❤️ Ibu dan bapa perlu berganding bahu pada masa khas tersebut untuk sama-sama pegang Al-Quran. Sama-sama dengar anak-anak membaca Al-Quran. Ini akan menaikkan semangat anak-anak.

❤️ Jangan biarkan anak-anak kita keseorangan dalam proses menghafaz Al-Quran.

Tidak kena gayanya jika ibu bapa meletakkan tanggungjawab 100% di atas bahu guru-guru di maahad tahfiz atau sekolah tahfiz untuk anak-anak mereka ingat Al-Quran.

❤️ Kata Syeikh Abdullah Rusydi dari negara Mesir;

“Guruku berpesan kepadaku, jika nak sebati Al-Quran dalam jiwa, apabila aku tamat menghafaz Al-Quran, setiap hari mesti ulang tidak kurang dari 3 juzuk sehari selama 3 tahun”.

❤️ 3 juzuk sehari. 30 juzuk selama 10 hari. 3 kali khatam dalam masa sebulan. 108 kali khatam dalam masa 3 tahun.

❤️ Sebab itu kadar minimum untuk ulang Al-Quran wajib 3 juzuk sehari paling kurang. Kalau lebih lagi bagus.

❤️ Antara kaedah ulangan terbaik ialah setiap 7 hari sekali khatam. Ia diajar oleh ramai guru termasuklah Tok Guru Haji Nor atau nama sebenarnya Datuk Muhammad Nor Che Ibrahim (1905 - 1987).

 

Ia berdasarkan kepada rumus :

‎“فمي بشوق” yang bermaksud “mulutku rindu” (untuk membaca Al-Quran).

✅ Ahad (ف) - Mulai Surah Al-Fātihah hingga akhir Surah An-Nisā’.

✅ Isnin (م) - Mulai Surah Al-Māidah hingga akhir Surah At-Taubah.

✅ Selasa (ي) - Mulai Surah Yūnus hingga akhir Surah An-Nahl.

✅ Rabu (ب) - Mulai Surah Al-Isrā’ (Bani Israil) hingga akhir Surah Al-Furqān.

✅ Khamis (ش) - Mulai Surah Asy-Syu’arā’ hingga akhir Surah Yāsīn.

✅ Jumaat (و) - Mulai Surah As-Sōffāt hingga akhir Surah Al-Hujurāt.

✅ Sabtu (ق) - Mulai Surah Qāf hingga akhir Surah An-Nās.

 

❤️ Suasana Al-Quran tidak hanya berada di maahad tahfiz. Ibu bapa perlu wujudkan suasana tersebut di rumah. Para huffaz Al-Quran mesti mencipta suasana tersebut walau di mana mereka berada.

Penghafaz Al-Quran mesti tahu sikap dan perangai yang sepatutnya menjadi pakaian mereka. Sudah pastinya ia tidak akan sama dengan orang lain.

Mereka juga perlu tahu corak dunia mereka. Apabila mereka berada di mana sahaja, mereka berupaya mencorakkan dunia yang sama.

❤️ Masa terbaik untuk menghafaz Al-Quran ialah waktu sahur (sebelum Subuh).

Waktu terbaik untuk mengkaji Al-Quran ialah selepas waktu pagi (selepas Subuh).

Waktu terbaik untuk penulisan ilmu Al-Quran ialah waktu tengahari.

Waktu terbaik untuk mentelaah dan berbincang tentang Al-Quran ialah waktu malam.

❤️ Tetapi waktu hafaz Al-Quran terbaik mungkin berlainan antara seorang hafiz dengan seorang hafiz yang lain. Ikutlah kesesuaian masing-masing.

❤️ Manakala waktu muraja’ah Al-Quran pula ialah pada setiap masa dan bila-bila masa.

❤️ Otak manusia mempunyai tempoh ingatan yang sangat singkat.

Kajian mengatakan jika hafazan tidak diulang dalam masa 24 jam, ingatan akan menurun kepada 80%.

Jika lebih lagi harinya tidak diulang, maka ingatan akan menurun dengan begitu pantas.

Oleh itu setiap kali selepas tasmik, mesti diulang beberapa kali ayat yang sudah di tasmik itu dalam masa 24 jam.

❤️ Siapa yang menjaga sungguh hafazannya, sudah tentu ingatan akan menjadi sangat luar biasa.

Sebaliknya jika hafaz yang baru, kemudian tasmik, kemudian tambah lagi hafazan tanpa ada muraja’ah pun hafazan yang lama, maka akhirnya tiada ada sepatah ayat pun yang akan diingat.

❤️ Kesilapan paling besar penghafaz Al-Quran ialah dia ulang apa yang dia ingat saja.

Ayat itulah yang selalu dibaca dan dibawa dalam solat.

Tapi ayat yang dia tak ingat sangat, dia malas untuk ulang.

Semakin lama semakin kelam, semakin lama semakin hilang dari ingatan.

❤️ Catatkan juga makna bagi setiap ayat yang dihafaz supaya menghafaznya tidak kosong dan hanya mengharapkan kepada hafazan semata-mata.

Bila faham maksud ayat, ia akan membantu hafazan dari sudut kronologi.

❤️ Banyakkan tengok mushaf di samping mengulang secara hafazan kerana ia juga akan membantu kita membuat peta minda.

❤️ Orang yang hafaz Al-Quran tetapi tak ingat, maka ia akan jadi penyakit baginya. Penyakit tidak boleh dibiarkan. Ia mesti diubati dengan muraja’ah.

❤️ Syeikh Isa Al-Ma’sarawi, Syeikh Kuraim Rajih dan lain-lain ulamak Al-Quran mengamalkan muraja’ah Al-Quran dari dulu sehingga sekarang walaupun mereka adalah syeikh-syeikh yang hebat.

Syeikh Isa Al-Ma’sarawi sendiri sudah muraja’ah Al-Quran tanpa melihat mushaf lebih dari 50 tahun!

Bayangkanlah kekuatan hafazan mereka berkat muraja’ah.

——————————————————————————-

✅ PERINGATAN PENTING KEPADA PARA GURU TASMIK :

❤️ Untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mantap hafazannya, dia mestilah berguru juga dengan guru yang mantap.

Jika guru tasmik pun tak ingat Al-Quran, masa tasmik pelajar pun buka mushaf, makanya murid itu akan hilang tsiqah dan keyakinan kepada gurunya sendiri.

Bagaimana anak murid nak ingat Al-Quran kalau guru tasmik pun tak ingat Al-Quran?

Makanya, guru pun kena ambil peluang cuti Covid-19 ini untuk turut sama mengulang dan muraja’ah Al-Quran, malah lebih banyak daripada muridnya!

❤️ Guru yang hafiz dan para pelajar yang sedang menghafaz Al-Quran mesti berasa sedih dan kecewa jika Al-Quran yang dihafaz suatu ketika dahulu hilang satu persatu dari dada mereka.

❤️ Guru tasmik ini bukan tugasnya tasmik semata-mata. Apabila pelajar menghadapi kesukaran untuk menghafaz ayat-ayat tertentu, maka tugas gurulah untuk memberi panduan bagaimana untuk memudahkan hafazan.

❤️ Target guru tasmik ialah untuk melahirkan para Huffaz yang mantap bacaan dan hafazannya. Jadi, jangan terlalu bertolak ansur dengan kesilapan bacaan dan hafazan semata-mata untuk mengejar khatam hafazan semata-mata.

——————————

Itulah catatannya. Semoga bermanfaat buat semua.

Jangan lupa untuk #share ilmu penting ini kepada semua orang yang terkait.

Mungkin para guru hafiz dan hafizah. Mungkin para pelajar yang sedang menghafaz Al-Quran. Mungkin juga kepada ibu bapa.

Moga kita semua terbangun dari lena yang panjang.

 

Sumber artikel: FB Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Bin Mohamad

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint