"Terasa Sebak..." - Viral Video Anak Orang Asli Disakat Polis, Ini Reaksi Mufti Perlis




Semalam, viral sebuah video di Facebook yang memperlihatkan beberapa anggota polis dilihat 'menyakat' sekumpulan kanak-kanak yang berkeliaran di luar rumah ketika tempoh PKP.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan pengguna Facebook bernama Dzul SP, anggota polis tersebut kedengaran seolah-olah 'memarahi' beberapa orang kanak-kanak dipercayai dari kelompok Orang Asli yang dilihat berada di luar kawasan rumah.

Ketika dimarahi, kanak-kanak tersebut kelihatan takut malah turut 'merayu' agar mereka tidak ditahan oleh pihak polis kerana melanggar arahan PKP.

Video tersebut telah menjadi viral dan mendapat perhatian daripada netizen. Rata-rata netizen berasa geli hati dengan keletah kanak-kanak berkenaan dan tidak kurang ramai juga memuji pendekatan yang digunakan anggota polis terbabit dalam menasihati kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, video itu turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menerusi satu catatan yang dibuat di laman Facebook miliknya, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza mendapati bahawa video dan kejadian itu mempunyai beberapa sisi yang menarik untuk dijadikan pengajaran.

Untuk perkongsian penuh, teruskan membaca di bawah:

"Saya percaya ALLAH memberikan kegembiraan dunia kanak-kanak mereka mungkin melebihi sebahagian besar anak-anak orang di bandar."

Saya menonton video ini, saya dapati ada beberapa sisi yang menarik. Pertama, pegawai PDRM berkenaan telah menjalankan tugas dengan baik. Memberi amaran dan juga memberikan maklumat kepada anak-anak yang kita kasihi ini. Itu semua untuk kebaikan mereka juga. Kedua, dalam masa yang sama juga beliau memenuhi nilai insani yang tinggi sebagai seorang insan dengan membeli jualan anak tersebut. Saya percaya beliau tidak memerlukannya tapi sebagai tanda kasih dan simpati. Terasa sebak apabila melihat sikap yang mulia itu. Marilah kita doakan agar ALLAH memberikan beliau rezeki yang luas.

Ketiga, di sudut anak-anak tersebut, dari penampilan mereka, kita lihat tersangat sederhana kehidupan yang mereka sedang lalui. Tanpa kasut di kaki dan pakaian yang amat biasa. Mungkin mereka juga tiada hiburan seperti kebanyakan anak-anak kita. Alam adalah kehidupan mereka. Saya percaya ALLAH memberikan kegembiraan dunia kanak-kanak mereka mungkin melebihi sebahagian besar anak-anak orang di bandar. Kegembiraan itu boleh hadir dalam pelbagai rupa. Namun, zahirnya, mereka dalam keadaan yang sukar dari segi kebendaan. Barangkali peristiwa itu menjadi kenangan dalam hidup mereka. Marilah kita doakan agar ALLAH memberikan masa depan yang baik untuk semua anak-anak tersebut.



KREDIT: Athirah Hanapiah (says.com - Seismik)

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint