Pemberian Mengharapkan Erti Hidup Bertuhan

Sofian Resali | 16-04-2020
Kehidupan ini tumpang-menumpang saling membantu sesama insan


ERTI HIDUP PADA MEMBERI

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:" (Surah al-Baqarah: 155)

Dahulu, ketika masih terlalu naif tentang kehidupan, saya sering tertanya-tanya apakah tujuan hidup ini. Tambahan apabila berdepan dengan kesulitan, kesusahan dan ketakutan, saya tertanya-tanya adakah itu tujuannya kita hidup?

Paling tidak, apabila berdepan dengan kepayahan, saya juga tertanya, apakah ada orang lain yang lebih susah berbanding kita? Dan apakah Tuhan telah meninggalkan kita?
--------------------------------------------------------------------
'Rebus beras buat susu'

Hari ini, untuk kali kedua sepanjang PKP ini, saya bersama-sama NGO MyCARE turun menyampaikan bantuan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan. (Sudah tentu dengan mematuhi prosedur penjarakan sosial dan pemakaian face mask dan glove)

Benar. Apabila turun padang, barulah kita akan bertemu dengan realiti. Betapa masih ramai di kalangan masyarakat yang benar-benar susah.

Ada diantara mereka yang telah 'terpisah' dengan suami yang terpaksa dikuarantin sejak PKP dilaksanakan. Ada yang terputus atau kekurangan sangat-sangat bekalan makanan beberapa hari.

Namun, paling 'rare' adalah ada diantara mereka yang terpaksa merebus beras untuk dibuat bubur. Dan buih bubur nasi itu diambil, dicampur dengan air dan dijadikan susu anak.

Saya percaya, ramai lagi yang telah bertemu dengan kejadian-kejadian seperti ini. Bahkan mungkin jauh lebih mencabar. Sebab itu, saya sangat menyokong dan menghargai peranan semua pihak dalam menyalurkan bantuan.

Kita tidak boleh menafikan peranan ramai pihak yang turun membantu. Sudah tentu masing-masing mempunyai 'limitation' tersendiri. Namun usaha untuk membantu harus kita hargai.

-----------------------------------------------------------

Erti hidup ini

Kisah-kisah di atas adalah antara cebisan kisah nyata masyarakat yang kita temui. Betapa kita sebenarnya tidaklah pernah lebih daripada orang lain.

Ya. Akan sentiasa ada - ketika kita merasakan kitalah yang hebat, sebenarnya ada orang lain yang lebih hebat berbanding kita. Begitu juga ketika kita merasakan susah, sebenarnya ada lebih ramai yang jauh lebih susah daripada kita.

Kesenangan, kemewahan dan kehebatan kadang-kala lebih sesetengah daripada kita takuti daripada kepayahan, penderitaan dan keperitan. Kerana ketika senanglah kita cenderung mudah benar melupakanNya. Sedang Tuhan, tidak pernah meninggalkan kita.

Ketika kita sendiri serba kekurangan harta, wang dan keperluan, sebenarnya ia tidak menghalang kita untuk memberi. Ya, kita masih lagi mampu memberikan tenaga, buah fikiran dan kehidupan positif kepada warga.

"Ya Allah... sedihnya," kata sahabat saya, Ustaz Amiro Safwan tadi.

Pulang ke rumah, isteri sudah sedia memasak. Kebetulan dia tidak bekerja hari ini. Saya terdiam sebentar hidangan yang enak di atas meja. Kemudian melihat kepada anak-anak yang riang bergurau senda sesama mereka.

Saya kemudian menghubungi ketua penduduk yang bertanggungjawab mengagihkan bantuan di situ. Cuba mendapatkan perkembangannya.

"Alhamdulillah, sumbangan tadi telah kami sampaikan. Susu pun kita telah agihkan pada keluarga tadi. Anak dia pun dah minum susu."

Alhamdulillah...

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint