4 Tokoh Muslim Yang Terkurung, Tetapi Menghasilkan Karya Yang Hebat!

Dr. Ahmad Sanusi Azmi | 17-04-2020


Terkurung Menjadikan Muslim Produktif
===========
1. Apabila seorang Muslim itu terkurung, ia tidak sepatutnya menjadikan mereka dibelenggu kebuntuan. Banyak contoh dalam sejarah islam yang menunjukkan tokoh muslim yang terpenjara berjaya menghasilkan karya yang ulung yang luar biasa.

2. Di sini saya senaraikan beberapa tokoh Muslim yang menghasilkan karya ketika mereka terpenjara. Antaranya:

a. al-Imam Ibn Taimiyyah: Beliau adalah antara ilmuan Islam yang menghasilkan karya yang sangat banyak. Kata anak murid beliau, al-Hafiz Ibn Abd al-Hadi:

مع أن أكثر تصانيفه إنما أملاها من حفظه وكثير منها صنفه في الحبس، وليس عنده ما يحتاج إليه من الكتب

“dengan bilangan karyanya yang banyak, beliau mengarangnya daripada hafazan dan ingatan beliau dan banyak karya yang dihasilkan ketika beliau dipenjara. Dan beliau tidak memerlukan kitab rujukan untuk mengarangnya. (al-Uqud al-Duriyyah)

b. Sheikh Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari al-Idrisi: seorang tokoh pendakwah ulung dari Maghribi yang mendapat pujian dari ramai tokoh terkemuka. Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki menyifatkan beliau sebagai tokoh hadis dari Maghribi. Terdapat dua buah karyanya yang ulung dihasil ketika beliau dipenjara iaitu kitab Tamam al-Minnah serta Bida’ al-Tafasir.

c. Syed Qutb: Beliau dipenjara pada zaman Jamal Abdul Naser pada tahun 1954 hingga 1964. Tempoh ini menyaksikan zaman keemasan beliau apabila berjaya menghasilkan karya yang menjadi rujukan umat Islam sehingga hari ini iaitu Fi Zilal al-Quran dan Maalim fi al-Tariq.

d. Buya HAMKA: Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA telah dipenjara pada zaman Soekarno pada tahun 1964 hingga 1966. Dalam tempoh ini beliau berjaya menghasilkan karya unggul berjudul Tafsir al-Azhar, sebuah karya tafsir yang mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar sendiri.

3. Malah ramai lagi sarjana muslim yang menghasilkan karya ketika mereka terkurung dan dipenjara. Terkurung tidak mengurangkan produktiviti muslim. Ia seharusnya memecah kreativiti muslim untuk menghasilkan sesuatu yang lebih luar biasa.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

 

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint