Bagaimana Rasulullah Kenali Kita Di Padang Mahsyar Kelak?




Baginda SAW merupakan manusia pertama yang akan dibangkitkan di padang Mahsyar kelak. Padanya ada syafaat yang menjadi rebutan umat manusia agar boleh membantu mereka untuk melepasi alam itu dan dimasukkan ke syurga.

Berdasarkan penceritaan dan hadis yang telah diriwayatkan, kita tidak dapat membayangkan ramainya manusia yang berjalan di padang Mahsyar untuk menuju Allah SWT bagi menghisab segala amalan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.

 

Panas terik dicampur dengan peluh dari semua manusia yang ada itu pastinya membuatkan manusia berada dalam keadaan yang huru-hara. Dikhabarkan bahawa manusia hanya akan memikirkan dirinya sahaja dan tidak akan menghiraukan orang yang pernah disayanginya di dunia.

 

Pada waktu inilah, manusia akan mencari pertolongan dan syafaat daripada nabi-nabi yang pernah ada. Satu-persatu nabi didatanginya, namun mereka akan memberi jawapan yang sama, iaitu: “Aku tidak mampu membantumu kerana sewaktu hidupku, aku pernah melakukan dosa.”

 

Para nabi merasakan bahawa mereka pernah melakukan dosa besar terhadap Allah sewaktu hidup mereka. Disebabkan itu, mereka tidak berani untuk memberi pertolongan kepada manusia yang sampai kepadanya.

 

Pada waktu inilah, manusia akan sampai kepada Nabi Muhammad SAW setelah tiada nabi yang sanggup memberikan pertolongan kepadanya.

 

لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللهُ مَن مَاتَ مِنْ أُمَّتِي يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا

 

Maksud: “Semua nabi memiliki doa yang mustajab. Semua nabi menyegerakan doa mustajab mereka. Adapun, aku menyimpannya untuk umatku sebagai syafaat bagi mereka dan itu akan didapati oleh umatku yang meninggal dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 199)

 

 

Adapun, manusia boleh mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi syafaat. Namun, bagaimana cara Baginda SAW dapat mengenali umatnya?

 

Terdapat perbahasan ulama melalui beberapa buah hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW yang menghuraikan bahawa Baginda dapat mengenali umatnya melalui dua cara, iaitu:

 

 

#1 – Umat Islam dipanggil dan berhimpun di hari akhirat dengan pemimpinnya.

 

#2 – Melalui tanda putih bercahaya pada wajah, kaki dan tangan yang merupakan anggota yang terkena air wuduk. Cahaya inilah yang menjadi pembeza dari manusia yang lain.

 

 

Maksud: “Aku berharap bahawa kalian boleh melihat saudara-saudara kalian.” Mereka (para sahabat) berkata: “Bukankah kami adalah saudara-saudaramu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Kalian adalah sahabat-sahabatku, saudara-saudara kamu adalah mereka yang belum datang (lahir) saat ini.” Mereka berkata: “Bagaimana engkau mengetahui orang yang belum ada saat ini, wahai Rasulullah?”

 

Baginda kemudian menjawab: “Tidakkah engkau melihat, jika seseorang memiliki kuda bertanda putih pada muka dan kaki-kakinya berada di antara kuda-kuda hitam pekat, bukankah ia boleh mengenali kudanya?” Mereka kemudian mengiyakan. Lalu Baginda menyambung lagi: “Mereka akan datang dengan wajah putih bersinar dan kaki serta tangan yang bercahaya pada bahagian air wuduk. Aku akan menunggu mereka di telaga.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 249)

 

Jumhur ulama seperti Imam Nawawi juga menyebutkan bahawa anggota badan yang berwuduk akan mengeluarkan cahaya dan cahaya inilah yang akan menyebabkan Baginda mengenalinya.

 

 

Ibnu Hatim juga ketika mentafsirkan surah Al-Israa (ayat 71) menyebut bahawa pemimpin yang dikumpulkan adalah pemimpin yang membawa kebaikan. Maka, mereka akan dikenali Baginda SAW. Manakala, pemimpin yang penuh dengan kesesatan yang datang bersama pengikutnya tidak dikenali Baginda.

 

 

Tuntasnya, melalui riwayat yang disebutkan di atas, manusia dianjurkan untuk memilih dan mengikut ajaran pemimpin yang baik serta memperbanyakkan beribadah dengan berwuduk.

 

 

 

Rujukan artikel:

Konsultasi Syariah

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint