Jangan Keliru Antara Nabi dan Rasul




Beriman dengan para nabi dan rasul merupakan Rukun Iman keempat bagi umat Islam. Sebagai umat akhir zaman, kita bukan hanya beriman dengan Nabi Muhammad SAW sahaja sebagai nabi dan rasul yang terakhir, malah nabi-nabi dan rasul yang datang sebelum itu.

 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa jumlah sebenar nabi dan rasul bukan hanya 25 orang seperti yang ada di dalam Al-Quran dan hadis, malah dikatakan jumlah rasul sehingga 313 orang manakala bilangan nabi pula adalah seramai 124,000 orang.

 

Namun, yang wajib kita ketahui adalah 25 orang sahaja kerana yang lain tidak diceritakan dalam Al-Quran mahupun hadis. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran:

 

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ

 

Maksudnya: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.” (Surah al-Nisaa’ 4:164)

Berbalik kepada topik utama dalam artikel ini, Tzkrh ingin berkongsi tentang perbezaan antara nabi dan rasul.

 

Apabila ditanya tentang apa beza antara mereka, rata-rata menjawab bahawa Rasul wajib menyampaikan wahyu yang diturunkan oleh Allah, manakala Nabi tidak wajib menyampaikan. Walau bagaimanapun ada beberapa pandangan dalam hal ini sebenarnya.

 

Pendapat Pertama:

 

Pandangan yang disebutkan di atas adalah yang paling masyhur iaitu:

 

Rasul – Disuruh menyampaikan wahyu yang diturunkan kepada mereka.

 

Nabi – Wahyu juga diturunkan kepada mereka dalam bentuk syara’ tetapi tidak diperintahkan menyampaikannya.

 

Walau bagaimanapun pandangan pertama di atas ditolak oleh Syeikh Sulaiman Al-Asyqar kerana dua sebab:

 

1) Allah SWT mengutuskan nabi sebagaimana Dia mengutuskan rasul, dan pengutusan itu mewajibkan penyampaian wahyu.

 

2) Tidak menyampaikan wahyu Allah SWT dikira sebagai menyembunyikan wahyu, sedangkan Allah tidak menurunkan wahyuNya untuk disimpan dalam hati seorang manusia dan hilang selepas kematiannya.

 

Diriwayatkan oleh Abdul Rahman ibn Abd al-Rabb, bahawa Baginda SAW bersabda:

 

إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ نَبِيٌّ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ يَدُلَّ أُمَّتَهُ عَلَى خَيْرِ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ وَيُنْذِرَهُمْ شَرَّ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ

 

Maksudnya: “Tiada seorangpun Nabi sebelumku, kecuali menjadi tanggungjawab ke atasnya untuk menunjukkan jalan yang benar kepada umatnya, dan memperingatkan mereka akan jalan keburukan.” (Sahih Muslim, no. 1844)

 

Pendapat Kedua:

 

Rasul – Kitab atau hukum-hakam diturunkan kepada mereka yang tiada dalam syariat yang sebelumnya.

 

Nabi – Diutus untuk menyeru kepada syariat yang telah diturunkan sebelumnya tanpa didatangkan dengan kitab atau hukum yang baru.

 

Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Al-Zamakhsyari, Imam Al-Baidhawi, Imam Al-Nasafi, Syeikh Abd Al-Razzaq ‘Afifi dan Syeikh Sulaiman Al-Asyqa.

 

Walau bagaimanapun pandangan ini juga mendapat kritikan kerana Nabi Adam adalah nabi pertama dan jika definisi nabi sebagai penguat syariat terdahulu digunapakai, maka syariat nabi mana yang dibawa oleh Nabi Adam?

 

Pendapat Ketiga:

 

Rasul – Diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar.

 

Nabi – Diutuskan kepada kaum yang beriman, untuk mengajarkan kepada mereka perkara yang mereka sudah ketahui dan sudah diajarkan sebelumnya.

 

Seorang rasul itu tidak semestinya membawa syariat yang baru, contohnya Nabi Yusuf yang merupakan seorang Rasul tetapi baginda berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim, sementara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman kedua-duanya membawa ajaran Taurat.

Ini merupakan pandangan Ibn Taimiyyah.

 

Ada sebuah hadis juga yang menyebutkan bahawa Nabi Nuh yang merupakan Rasul pertama dan bukan Nabi Adam. Rasulullah SAW bersabda:


فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ

 

Maksudnya: “…manusia berbondong-bondong datang kepada Nabi Nuh (untuk meminta syafaat) lalu berkata: Wahai Nabi Nuh! Sesungguhnya kamu ialah rasul pertama kepada penduduk di bumi…” (Sahih al-Bukhari, no.4712)

 

Kaum keluarga Nabi Adam juga ketika itu semuanya beriman kepada Allah, namun selepas itu semakin lama manusia semakin jauh daripada kebenaran lalu diutuskan Nabi Nuh untuk menyeru dan mengembalikan semula mereka ke jalan kebenaran.

 

Selain itu, terdapat banyak ayat yang menyatakan secara jelas bahawa misi diutuskan para Rasul adalah untuk menyeru semula manusia ke jalan tauhid.

 

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۚ

 

Maksudnya: “Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.” (Surah al-A’raf 7:65)


وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ

 

Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syu’aib. Ia berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.” (Surah al-A’raf 7:85)

 

Kesimpulan

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga berpandangan bahawa pandangan yang masyhur selama ini yang mengatakan bahawa nabi tidak diperintahkan untuk menyampaikan wahyu adalah tidak tepat, dan takrif ini telah dikritik oleh ramai ulama.

 

Dalam hal ini, pandangan ketiga lebih dekat dengan kebenaran bahawa rasul diutus kepada kaum yang ingkar dan telah tersasar daripada kebenaran sama ada dengan membawa syariat yang baru atau meneruskan syariat sebelumnya.

 

Manakala nabi pula adalah utusan yang diutuskan kepada kaum yang sudah sedia beriman seperti Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Syith dan lain-lain.

 

Pandangan terakhir inilah yang paling kuat dan konsisten dengan ayat-ayat Al-Quran dan sirah. Wallahua’lam.

 

 

Sumber rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan

 

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint