Sedekah dan Masyarakat


Sedekah tidak memiskinkan kita


Dalam kehidupan bermasyarakat ini, sudah tentu kita menanam hasrat untuk melahirkan masyarakat yang baik. Matlamat ini adalah matlamat besar kerana masyarakat yang baik mampu membentuk ummah yang sejahtera.

 

Namun, sebelum membentu masyarakat yang baik, terlebih dahulu perlulah dibina individu yang baik. Kebaikan ini pula sangat terkait dengan keberkatan. Manakala salah satu cara untuk menjemput keberkatan adalah melalui jalan banyaknya bersedekah.

 

Jangan kedekut. Nabi SAW jamin sesiapa yang bersedekah tidak akan miskin. Para peniaga yang mana mahu perniagaannya berkat, banyakkan bersedekah. Peluang anda sebenarnya terbentang luas untuk melakukan amal sedekah.

 

Sebagai contoh, orang yang berniaga rambutan. Kalau ada orang yang membeli rambutan kita, tidak salah sekiranya kita melebihkan sedikit jumlah rambutan untuknya. Ia juga dikira sebagai sedekah. Jangan sesekali fikir sedekah hanyalah berbentuk wang ringgit. Bahkan ia lebih luas.

 

Begitu juga jika di rumah kita ada pokok yang berbuah. Buah-buahannya pula lebat ranum. Maka, apalah salahnya jika kita turut berkongsi buah-buahan itu dengan jiran sebelah menyebelah? Apatah lagi sekiranya ada jiran yang mengidam untuk memakannya. Lagilah bagus kita sedekah dan berkongsi dengan mereka.

 

Jangan jadi kedekut. Jangan rasa dengan bersedekah, kita akan rugi. Bukankah Allah SWT akan memberi ganti dengan sesuatu yang lebih baik atau banyak? Mana tahu, hari ini kita sedekahkan sebiji buah mangga kepada jiran, minggu depan pula ada orang lain memberikan buah lain yang lebih baik dan banyak untuk kita.

 

Namun, sedarkah kita apakah sedekah yang paling besar pahalanya? Tidak lain adalah sedekah kepada ibu bapa kita. Ya, mak dan ayah bukan nak sangat pada duit kita. Bukan mereka hadap sangat dengan harta kita. Tapi, mak dan ayah sangat bangga sekiranya anak-anak memberikan sesuatu untuk mereka. Walaupun harganya tidaklah seberapa. Namun, ingatan kita itulah yang menyentuh hati mereka.

 

Selepas ibu bapa, siapakah pula yang afdal kita bersedekah? Mereka ialah yang paling dekat dengan kehidupan kita seperti suami, isteri, adik beradik, saudara mara dan sahabat handai. Bayangkan, mereka inilah yang paling dekat dengan kita dan ada bersama ketika susah serta senang.

 

Bersedekah kepada kelompok ini bukan sahaja dianggap utama selepas ibu bapa, bahkan mempunyai hikmah tersendiri. Tidak lain adalah ia mampu mengeratkan lagi hubungan atau menambahkan lagi kemesraan yang terjalin.

 

Golongan seterusnya yang besar pahalanya untuk bersedakah adalah anak yatim serta fakir miskin. Sedekah kita sudah tentu besar ertinya bagi mereka kerana faktor tertentu. Ia bukan sahaja menjanjikan pahala yang besar bahkan mampu membantu meringankan beban mereka.

 

Bayangkan anak yatim yang kehilangan tempat bergantung dan fakir miskin yang tidak berkemampuan apabila dibantu dengan sedekah, pasti akan menghadirkan kegembiraan buat mereka. Apatah lagi ketika ia sangat-sangat memerlukan kepada bantuan orang lain.

 

Begitu sedekah berperanan besar dalam struktur masyarakat. Betapa rahmat yang besar bagi masyarakat di mana individu-individunya menjadikan sedekah sebagai amalan kehidupan. Sudah pasti, apabila masyarakat saling bantu membantu melalui pelbagai cara termasuk sedekah, ia pasti dapat membentuk kitaran kehidupan yang kondusif.

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint