Wanita


Wanita


Tingginya Perhargaan al-Quran Terhadap Wanita.

 

Saya telah kongsikan sebelum ini, bahawa apabila al-Quran membincangkan soal suami isteri yang memasuki syurga, al-Quran tidak sekali-kali menyebutkan soal bidadari.

 

Ini kerana, al-Quran menjaga perasaan cemburu yang menjadi pakaian wanita. 

 

Kali ini saya ingin kongsikan bagaimana al-Quran menjaga kemuliaan dan kehormatan diri seorang wanita. Kita akan perhatikan dua ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan Maryam al-Muqaddasah radhiyallah `anha seperti berikut:-

 

وَٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهَامِن رُّوحِنَا وَجَعَلۡنَٰهَا وَٱبۡنَهَآ ءَايَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ (91)

 

Terjemahan: “Dan (sebutkanlah peristiwa) wanita yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya daripada Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.” (Al-Anbiya’:91)

 

Ayat 12 surah al-Tahrim pula berbunyi,

 

وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٰنَ ٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَٰنِتِينَ(12)

 

Terjemahan: “Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti `Imran (ibu Nabi `Isa) yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya daripada Roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (Al-Tahrim:12)

 

Panjang dan banyak isu yang boleh kita bahaskan daripada dua ayat ini. Saya ingin memberikan fokus kepada satu nilai sahaja yang menyentuh harga diri seorang wanita.

 

Dalam surah al-Anbiya, nama Maryam tidak disebutkan pun. Allah Taala hanya berkata وَٱلَّتِيٓ yang bermaksud "Dan seorang wanita." 

 

Berbeza rentaknya dalam surah al-Tahrim, nama beliau disebutkan sekali dengan nama bapa beliau.

 

Maka persoalannya ialah, mengapakah nama beliau tidak disebutkan dalam surah al-Anbiya'?

 

Sebelum itu, saya perlu jelaskan terlebih dahulu, bahawa Maryam merupakan satu-satunya wanita yang disebutkan namanya dalam al-Quran. 

 

Berbeza dengan lelaki, sekurang-kurangnya ada nama Luqman dan Zaid radhiyallah `anhuma disebutkan -selain para Nabi-.

 

Ini kerana dalam surah al-Anbiya’, terdapat sebanyak 16 nama Nabi disebutkan; bermula Nabi Musa dan berakhir dengan nama Nabi Yahya `alaihim al-salam.

 

Selepas nama Nabi Yahya disebutkan, barulah datangnya kisah Maryam tanpa disebutkan nama.

 

Ini kerana wallah a`lam, Allah Taala ingin menjaga kesucian dan kehormatan harga diri wanita dengan tidak menyebutkan nama Maryam di tengah-tengah khalayak nama lelaki disebutkan.

 

Juga sebagai simbolik bahawa beliau benar-benar suci dan tidak melakukan perbuatan yang keji dan jelik dengan mana-mana lelaki.

 

Seolah-olah al-Quran ingin mengajar kita bahawa, lelaki dan wanita ada batasnya.

 

Nak bergurau boleh, namun janganlah sampai bertepuk tampar.

 

Nak berkawan boleh, namun jangan sampai dipeluk anak dara orang atau isteri orang walaupun atas nama lakonan. 

 

Tidak malukah kita seorang lelaki memeluk kita dan adegan itu disaksikan oleh anak-anak dan ibu bapa kita? Malah pasangan kita?

 

Nak berniaga boleh, namun jangan sampai berniaga barang-barang sulit dan berkempen tanpa ada adab susila dan disaksikan orang ramai.

 

Nak bercinta boleh, namun usah dipegang tangan anak orang dan janganlah membonceng motosikal bersama-sama.

 

Jadilah seperti Maryam yang pandai menjaga maruah diri, bukannya menjadi seperti isteri Abu Lahab.

 

Dan lelaki, jadilah seperti Nabi Yusuf yang tidak mengambil kesempatan, bukannya Abu Jahal yang sentiasa mencipta peluang.

 

Saudaramu,

Khair.

 

 

Kredit: https://www.facebook.com/102281454490993/posts/439231387462663/

 

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint