Berpenat Mencari Rezeki




Kepenatan Dalam Mencari Nafkah

============

1. Kesungguhan ibu bapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah kepenatan yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala. Sabda Nabi SAW,

وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِي فِيّ امْرَأَتِكَ

“Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala).” (HR Muslim).

 

2. Bahkan isteri yang bersungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya akan turut diberikan ganjaran yang besar oleh Allah. Al-Imam Muslim meriwayatkan satu insiden yang menyayat hati.

2.1 Menurut Sayidatina Aisyah, seorang Ibu telah datang ke rumahnya bersama dengan dengan dua orang anak perempuannya. Ibu tersebut meminta sumbangan daripada Aisyah. Namun, ketika itu tiada apa yang boleh disumbangkan melainkan sebiji tamar lalu diberikan kepada si ibu tersebut.

2.2 Apa yang berlaku di hadapan Aisyah sangat menyentuh hatinya. Si ibu membelah tamar tersebut kepada dua bahagian lalu diberikan kepada kedua orang anak perempuan yang bersama dengannya sedangkan dia sendiri tidak mendapat sebarang makanan. Peristiwa ini diberitakan kepada Nabi. Baginda lalu bersabda:

فَقَالَ إنَّ اللَّهَ قَدْ أَوْجَبَ لَهَا بِهَا الْجَنَّةَ أَوْ أَعْتَقَهَا بِهَا مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) Allah akan membebaskannya dari neraka. (HR Muslim).

 

3. Bahkan Rasulullah turut menegaskan bahawa duit yang ibu dan bapa sumbangkan untuk keluarga mereka adalah sebaik-baik nafkah di jalan Allah. Sabda Rasulullah:

أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ

“Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya.” (HR al-Bukhari)

 

4. Malah membelikan hadiah buat isteri juga dianggap sebagai perilaku baik seorang suami. Amru ibn Umayyah pernah membeli sepasang kain. Seorang sahabat bertanya, apa yang kamu lakukan kepada kain tersebut. Amru lalu menjawab:

تصدقت به عَلَى سخيلة بنت عبيدة ، وكانت امرأته ، وَقَالَ : سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقول فِي الصدقة : " الصدقة عَلَى الأهل صدقة

"Aku telah hadiahkannya kepada isteriku Sukhailah bint Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah.” (HR Abu Ya’la).

Justeru, berusahalah menyara keluarga dan berilah hadiah buat isteri. Sesungguhnya ia adalah perkara yang dipuji Allah dan Rasul.

 

 

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Kredit : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=250394783310456&id=100050198092241

 

 

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint