Kayuh tu tak haram, tapi haramnya bila pakaian tak jaga




SOALAN

Assalamualaikum. Saya berimpian untuk menyertai acara berbasikal yang menjadi sukan kegemaran ramai pada masa kini. Soalan saya, adakah dibolehkan jika seorang perempuan berpakaian sukan seperti memakai seluar tight dan skirt paras peha serta t-shirt lengan pendek berinner untuk memudahkan aktiviti berbasikal memandangkan aktiviti tersebut memerlukan pergerakan yang banyak. Adakah situasi kami ini boleh dikira sebagai darurat untuk etika berpakaian?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang telah ditentukan oleh syara’. Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya, dengan memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dan longgar daripada dilihat oleh bukan mahram. Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Etika pakaian sukan dan Menutup Aurat

Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami:

 

عورة الرجل وَالْأمة مَا بَين السُّرَّة وَالركبَة والحرة فِي صلَاتهَا وَعند الْأَجَانِب جَمِيع بدنهَا إِلَّا الْوَجْه وَالْكَفَّيْن وَعند محارمها مَا بَين السُّرَّة وَالركبَة

Maksudnya: Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut. [Rujuk: al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76]

 

Islam menitikberatkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang telah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata:

 

ستر العورة واجب

Maksudnya: Menutup aurat adalah wajib. [Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/165]

 

Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian tersebut dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuklah ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan diluar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal. Syariat Islam telah meletakkan garis panduan tentang cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi:

 

وَيَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ بِمَا لَا يَصِفُ لَوْنَ الْبَشَرَةِ مِنْ ثَوْبٍ صَفِيقٍ أَوْ جِلْدٍ أَوْ وَرَقٍ

Bermaksud: Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun.[Rujuk: al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie 1/125]

 

Selain daripada itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian tersebut bersifat ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman:

 

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (Surah an-Nur 24:30)

 

Imam Ibnu Abbas رضى الله تعالى عنهما ketika menjelaskan maksud إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ketika mensyarahkan ayat diatas ialah wajah dan kedua-dua telapak tangan. [Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/376]

Oleh yang demikian, berdasarkan nas dan pendapat ulama dapat difahami bahawa berpakaian yang menutup aurat itu hendaklah tebal yang tidak menampakkan warna kulit sesorang dan juga pakaian tersebut bersifat longgar yang tidak menonjolkan bentuk badan si pemakai. Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang:

 

ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ

Bermaksud: Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan. (Hadis Riwayat Muslim 2128)

 

Dalam memahami maksud hadith, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni ada menerangkan maksud كاسِياتٌ عارياتٌ dalam hadith diatas ialah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang dalam tafsirnya seperti berikut:

 

كاسيات في الصورة عاريات في الحقيقة، لأنهنّ يلبسن ملابس لا تستر جسداً، ولا تخفي عورة، والغرض من اللباس السترُ، فإذا لم يستر اللباس كان صاحبه عارياً

Bermaksud: Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat, dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang. [Rujuk: Tafsir Rawai’ul Bayan 2/385)

 

Berdasarkan penerangan hadith diatas, maka sebarang pakaian yang bersifat ketat apatah lagi pakaian yang nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang. Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan mempamerkan bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Apatah lagi berpakaian seperti itu ketika bersukan yang memerlukan pergerakan yang boleh menarik perhatian orang kepadanya.

Hukum ini tidak tertumpu kepada golongan wanita sahaja akan tetapi juga terlaksana kepada golongan lelaki yang bersukan. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian sukan yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakkan bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahkan anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapnya di persekitaran awam. Firman Allah SWT:

 

وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن

Bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka. (Surah an-Nur 24:31)

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, orang perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT keatas mereka untuk melihat selain daripada suami-suami mereka. [Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]

Berdasarkan firman Allah SWT diatas jelas bahawa golongan wanita juga perlu menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah. Nabi SAW juga bersabda mengenai pandangan wanita terhadap lelaki sepertimana hadis baginda yang berbunyi:

 

وقد روت أم سلمة رضي الله عنها قالت: كنت عند رسول الله صلى الله عليه وسلم وعنده ميمونة، فأقبل ابن أم مكتوم فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (احتجِبا منه، فقلنا يا رسول الله  أليس أعمى لا يبصرنا ولا يعرفنا؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم: أفعمياوان أنتما؟ ألستما تبصرانه)،

Bermaksud: Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah RA berkata: ketika aku bersama Rasulullah SAW dan disisinya ada Maimunah RA, maka datang Ibnu Ummi Maktum, maka Nabi SAW bersabda: berhijablah kalian berdua daripadanya, dan Kami pun seraya berkata wahai Rasulullah SAW: tidakkah dia buta dan tidak melihat kita dan tidak mengenali kita? Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu berdua buta? Tidakkah kamu berdua dapat melihat dia?. (Hadis Riwayat Abu Daud 4112)

Hadis diatas dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir sebagai hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak boleh bagi orang perempuan melihat lelaki ajnabi sama ada dengan syahwat mahupun tidak bersyahwat. [Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]

Maka dapat difahami bahawa golongan wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat dan nipis yang diharamkan untuk dilihat. Begitu juga, golongan lelaki perlu menitik beratkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah ketika bersukan bagi mengelakkan pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulkan fitnah.

 

KESIMPULAN

Oleh yang demikian, aurat perlulah dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita. Merupakan satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.

 

Oleh yang demikian, pendapat bahawa pakaian yang patuh syariah ini menghalang pergerakan ketika beriadah dan bersukan dengan alasan rimas, susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan yang tidak boleh dikira sebagai darurat dalam Islam kerana menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam.

 

Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar agar tersembunyi bentuk pada badannya dari kelihatan umum. Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.

 

 

kredit artikel: 

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4677-al-kafi-1766-hukum-memakai-pakaian-ketat-semasa-aktiviti-berbasikal

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint