Wang Bulanan Pemberian Suami, Perlukah Dizakatkan?




Soalan

Assalamualaikum. Adakah pemberian hadiah wang ringgit dari suami kepada isteri secara bulanan diambil kira sebagai sumber pendapatan isteri dan perlu dizakatkan?

 

Ringkasan Jawapan

Wang pemberian bulanan suami tersebut sekiranya dikumpul dan cukup syarat wajib zakat seperti cukup nisab dan haul maka ianya wajib dikeluarkan zakat simpanan.

 

Huraian Jawapan

Wang pemberian suami tidak dikira sebagai pendapatan dan ianya lebih kepada hadiah atau pemberian daripada seorang suami kepada isteri. Oleh kerana itu, ianya tidak termasuk dalam kategori pendapatan atau mal al-mustafad kerana tidak mempunyai unsur pekerjaan professional sebagaimana.

 

Namun begitu, sekiranya wang pemberian suami tersebut dikumpul dan cukup syarat wajib zakat seperti cukup nisab (kadar wajib yang dikenakan zakat) dan haul (tempoh setahun) maka wang yang terkumpul tersebut wajib dikeluarkan zakat simpanan.

 

Kesimpulan

Wang pemberian bulanan suami tidak termasuk dalam kategori harta perolehan yang wajib dikenakan zakat pendapatan kerana zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan pada harta atau hasil yang diperoleh daripada pekerjaan professional sama ada penggajian atau bekerja sendiri. Walaubagaimanapun, sekiranya wang pemberian bulanan suami tersebut dikumpul dan cukup syarat wajib zakat seperti cukup nisab dan haul maka ianya wajib dikeluarkan zakat simpanan.

 

 

sumber: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4750-al-kafi-1783-adakah-wang-pemberian-bulanan-suami-kepada-isteri-perlu-dizakatkan

 

KALENDAR

NEWSLETTER

Imprint