AKU vs QARUN


“Kalau tak kerana aku, tak jalan projek ini.”

“Kalau tak kerana aku, majlis ini takkan berlangsung.”

“Kalau tak kerana aku, kebulurlah keluarga itu.”

Inilah sifat KEAKUAN yang begitu menebal di dalam jiwa sesetengah daripada kita. Ia suatu keyakinan dalam hati bahawa segala sesuatu yang berhasil itu disebabkan daya upaya dirinya sendiri.

Sifat ini sangat berkait rapat dengan akidah kita. Awas, percakapan kita kadangkala boleh membatalkan akidah! Misalnya, meletakkan keyakinan bahawa diri kita yang berkuasa untuk mendatangkan manfaat dan mudarat dalam sesuatu perkara tanpa disandarkan kepada kekuasaan ALLAH SWT.

DIA mengajar kita untuk mengembalikan semua kepada-Nya. Tiada taufik dan hidayah buat kita melainkan dengan petunjuk-Nya. Lihatlah bagaimana kaum ‘Ad yang terlalu angkuh dengan kekuatan yang ALLAH SWT berikan kepada mereka. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Maka berkenaan kaum ‘Ad, mereka menyombongkan diri di bumi tanpa (mengendahkan) kebenaran, mereka berkata, “Siapakah yang lebih hebat kekuatannya daripada kami? Tidakkah mereka perhatikan bahawa sesungguhnya ALLAH yang menciptakan mereka. Dia lebih hebat kekuatan-Nya  daripada mereka. Dan mereka telah mengingkari tanda-tanda (kebesaran) Kami.” - Surah Fusshilat: 15

Begitu juga dengan kisah Qarun yang sangat sombong dan angkuh. Firman-Nya yang bermaksud:

“Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku dapat (harta itu), semata-mata kerana hasil ilmu yang ada padaku…” - Surah al-Qasas: 78

Apabila kita tidak sandarkan kehidupan kepada ALLAH SWT, maka penyakit sombong dan takbur akan mula tumbuh dalam diri. Seterusnya sedikit demi sedikit ia memakan diri kita. Sedangkan sifat hamba ALLAH SWT yang sebenar ialah orang yang merendah diri. Ini kerana kita tahu bahawa segala sesuatu yang diperolehi hanya dengan izin dan kehendak-Nya sahaja.

Imprint