UMRAH vs SHOPPING


“Mana boleh hilang? Jangan jalan lagi! Tunggu sampai dia tiba dan suruh orang cari sampai dapat,” kata pemimpin rombongan umrah dari Malaysia kepada dua orang di hadapannya.

Perasaan bimbang dan pelik bercampur-aduk. Siapalah yang tidak bimbang jika diberitahu seorang jemaah tidak muncul-muncul sejak meminta izin hendak ke tandas kira-kira dua jam yang lalu. Memang pemimpin rombongan kenal dengan jemaah tersebut. Bukan dia sahaja, tetapi juga semua jemaah dalam rombongan itu.

Namanya Hasidah (bukan nama sebenar), seorang ibu tunggal dari negeri di pantai timur. Hasidah bukan sahaja cantik, tetapi lemah lembut, baik hati dan tutur katanya sentiasa merendah diri. Wanita yang agak ‘berada’ itu selalu membeli-belah sejak rombongan itu tiba seminggu yang lalu.

“Wah, banyak beli Che Dah,” tegur anggota rombongan setiap kali melihat Hasidah memegang beberapa beg mengandungi barangan yang dibeli setiap kali lepas solat ataupun di mana sahaja bas yang dinaiki berhenti.

“Tak adalah. Beli sikit saja untuk keluarga dan kawan-kawan,” katanya lembut dalam loghat negeri yang masih pekat.

Begitulah setiap hari ada sahaja yang dibeli oleh Hasidah. Apa yang berkenan di hatinya, dia tidak pernah teragak-agak untuk membeli. Akhirnya setelah hampir seminggu bersama, tiada lagi jemaah dalam rombongan itu yang peduli dengan perangai Hasidah yang suka berbelanja. Bagi mereka, biarlah dia dengan kegemarannya dan mereka tidak mahu merosakkan amalan dengan mengumpat Hasidah. Namun perhatian kepada Hasidah kembali tertumpu apabila rombongan mereka singgah untuk makan dan bersolat ketika dalam perjalanan ke Mekah dari Madinah.

Menurut cerita, ketika menanti semua anggota rombongan menaiki bas, Hasidah meminta izin untuk pergi ke tandas. Selepas diizinkan, Hasidah melangkah turun dari bas. Itulah kali terakhir mereka melihat Hasidah sehinggalah dia tidak muncul-muncul biarpun setelah melebihi dua jam.

Menyedari kehilangan Hasidah dan bahayanya seorang wanita muda berjalan berseorangan, pegawai tersebut cepat-cepat menghantar dua orang lelaki untuk pergi mencarinya. Keadaan panik semakin terasa apabila setengah jam kemudian, dua lelaki terbabit pulang tanpa Hasidah. Ke manakah perginya wanita itu?

Namun semua tidak berputus asa. Pasukan mencari dibentuk terdiri daripada beberapa orang jemaah lelaki dalam rombongan itu. Mereka diminta supaya menghubungi pegawai rombongan secepat mungkin sebaik sahaja menemui Hasidah. Puas menunggu, tiada sebarang berita diterima. Jemaah-jemaah yang berada di dalam bas sudah mula gelisah. Jemaah wanita pula mula menitiskan air mata kebimbangan apabila nama Hasidah disebut.

Semuanya seperti cacing kepanasan, gelisah tidak menentu. Atas saranan pegawai itu, mereka berdoa beramai-ramai agar Hasidah dapat ditemui dalam keadaan selamat. Mereka bermohon walau apa pun salah atau silap Hasidah, ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Setengah jam kemudian, mereka mendapat panggilan yang membawa berita gembira. Kumpulan B yang mencari Hasidah sudah pun menemuinya dan mereka dalam perjalanan membawa Hasidah ke tempat bas menunggu. Pemimpin rombongan tadi terus menghubungi dua lagi kumpulan pencari agar pulang segera ke bas kerana Hasidah telah ditemui.

Tetapi semua terkejut melihat keadaan Hasidah sebaik sahaja tiba bersama kumpulan pencari tadi. Wajahnya kusut masai dan kelihatan seperti orang kebingungan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dia tidak ingat di mana dia berada dan siapa bersamanya. Malah dia tidak ingat apa-apa peristiwa selepas meminta izin hendak buang air kecil tadi.

Namun yang lebih memeranjatkan para jemaah dalam bas itu ialah di tangan Hasidah terdapat beberapa buah beg berisi barangan yang baru dibelinya. Beg itu dipegang dengan kuat sekali dan begitu sukar hendak dilepaskan.

Masing-masing mula tertanya-tanya, apakah benar Hasidah pergi buang air kecil? Bas bertolak semula ke Mekah setelah hampir tiga jam tergendala di perhentian makan akibat kehilangan Hasidah.

Sebaik tiba di Mekah, Hasidah terus dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Keadaannya tetap tidak berubah sehinggalah seorang ustaz datang melawat dan mengajarnya bertaubat. Setelah mengikut apa yang diajarkan oleh ustaz, Hasidah bagaikan tersedar dari mimpi dan terus menangis. Setelah keluar dari hospital, Hasidah meminta izin hendak bercakap di hadapan semua jemaah dalam rombongan itu.

“Sahabat-sahabat yang baik budi. Saya dengan rendah hati ingin memohon ampun dan maaf kerana telah menyusahkan sahabat semua. Sebenarnya inilah balasan ALLAH kerana saya telah berbohong. Sebenarnya saya bukan hendak pergi buang air, tetapi saya mahu membeli-belah. Mungkin ALLAH mahu memberi petunjuk, setelah habis membeli-belah, tiba-tiba saya tidak ingat di mana saya berada dan di manakah bas berhenti. Puas saya berpusing-pusing dan bertanya tetapi tiada siapa yang mahu melayan pertanyaan saya. Begitulah keadaan saya sehinggalah saya ditemui lebih tiga jam kemudian. Maaf sekali lagi kerana telah menyusahkan semua,” katanya benar-benar ikhlas.

Kata maaf Hasidah disambut dengan keikhlasan oleh semua jemaah lain. Mereka bersyukur kerana Hasidah terselamat dan tidak malu untuk berterus-terang. Sehingga rombongan kembali ke Malaysia, Hasidah menjadi anggota rombongan yang paling disenangi.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan jemaah Malaysia pergi ke Mekah dan Madinah khususnya wanita sangat gemar membeli-belah. Hinggakan di bazar-bazar Mekah dan Madinah, kebanyakan penjual yang terdiri daripada orang Bangladesh, Arab mahupun Indonesia boleh berbahasa Melayu. Mereka mempelajari Bahasa Melayu kerana ingin memudahkan jual beli dengan warga Malaysia yang dianggap banyak duit. Untung peniaga di Mekah dan Madinah kerana boleh bercakap hampir lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Turki, Perancis dan Rusia. Semuanya demi mengejar pasaran.

BUKU BERKAITAN
  • Cerita Daripada Mutawif
Imprint