Soalan:
Semasa kita solat berjemaah, bila sebenarnya makmum kena baca Fatihah? Nak kena tunggu imam habis baca Fatihah dulu atau kita boleh baca semasa imam sedang baca Fatihah?
Jawapan:
Dalam solat berjemaah disunatkan makmum membaca al-Fatihah selepas imam habis membaca al-Fatihah iaitu mendengar dan menghayati bacaan imam dahulu. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-A’raf ayat 204:
وَإِذَا قُرِىءَ ٱلْقُرْآنُ فَٱسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
Walau bagaimanapun apabila seseorang makmum bertindak membaca al-Fatihah serentak bersama imam, perbuatan ini tidak membatalkan solat.
Perkara ini dijelaskan di dalam kitab ‘Fathul ‘Allam bi Syarh Mursyid al-Anam.’ (Rujuk dalam bab حكم المقارنة بالركن القولي)
Begitu juga jika makmum membaca al-Fatihah sebelum imam membaca al-Fatihah maka perbuatan ini juga tidak membatalkan solat. Perkara ini ada dinyatakan di dalam kitab ‘Fathul Mu’in’:
ﻭﺇﻥ ﺳﺒﻘﻪ ﺑﺎﻟﻔﺎﺗﺤﺔ ﺃﻭ اﻟﺘﺸﻬﺪ ﺑﺄﻥ ﻓﺮﻍ ﻣﻦ ﺃﺣﺪﻫﻤﺎ ﻗﺒﻞ ﺷﺮﻭﻉ اﻹﻣﺎﻡ ﻓﻴﻪ ﻟﻢ ﻳﻀﺮ
“Jika makmum mendahului imam dengan bacaan al-Fatihah atau tasyahhud yang mana menghabiskan bacaan salah satu dari keduanya sebelum imam memulakan bacaan itu, maka ia tidak memudaratkan.”
Namun kedua-dua perbuatan yang di atas adalah perbuatan yang kurang bertepatan dengan sunnah. Seeloknya makmum perlu menunggu imam menghabiskan bacaan imam dahulu sebelum memulakan al-Fatihah.
Lagipun apabila makmum menunggu imam menghabiskan al-Fatihah sambil menghayati bacaan itu, makmum akan mendapat pahala yang berganda iaitu pahala mendengar bacaan imam dan pahala membaca al-Fatihah setelah imam membacanya. Pahala berganda ini tidak akan diperoleh apabila makmum membaca al-Fatihah serentak dengan imam.