GENERASI 'MEMBAWANG'




Pada zaman sekarang, golongan yang suka mengata orang digelar sebagai ‘membawang.’ Tidak kira di mana-mana, kita boleh lihat golongan sebegini cuba melaga-lagakan sesama manusia. Untuk apa sebenarnya?

Islam itu mendidik kita untuk menyayangi dan menjaga maruah saudara kita. Justeru, untuk apa kita membuka aib mereka? Bayangkan jika ALLAH SWT pula membuka aib kita. Apa yang kita rasa?

Tidak dinafikan, teknologi yang semakin canggih menyebabkan segala carian maklumat hanya boleh dilakukan di hujung jari. Atau dalam erti kata lain, menjadi viral. Perilaku atau cerita yang mengaibkan dengan mudah menjadi tular ke seluruh negara mahupun dunia dalam masa beberapa minit sahaja.

Jika kita ada cerita atau melihat keaiban orang lain, cukuplah sekadar kita menasihati dan mendoakan mereka kembali ke jalan yang benar. Janganlah kita menjadi keyboard warriors atau netizen yang suka bertelagah dengan memberikan komen-komen negatif yang boleh mengaibkan pihak lain di laman media sosial.

Ingatlah, setiap penulisan kita dicatat oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita. Berfikirlah dahulu sebelum bertindak. Sebagai Muslim yang beriman, ALLAH SWT sangat menyukai jika kita berusaha menutup aib orang lain mahupun aib diri sendiri daripada tersebar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barang siapa yang menutup aib seseorang muslim, ALLAH akan menutupkan aibnya pada hari kiamat.” - HR Bukhari

Tidak sekadar di laman sosial, di mana-mana sahaja kita perlu menghindarkan diri daripada mengata perihal buruk orang lain. Kadang-kadang golongan yang suka 'menjaga tepi kain orang' ini wujud tanpa kita menyedarinya di sekeliling kita. Namun, semuanya bergantung kepada kita untuk memilih jalan untuk bersama mereka atau sebaliknya.

Biarlah kita dikatakan sebagai anti sosial sekalipun. Kadangkala dengan mendiamkan diri itu lebih membuatkan kita terselamat daripada segala aib atau fitnah yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Berdoalah mohon perlindungan daripada terjebak ke arah kemungkaran ini.

BUKU BERKAITAN
  • HOPE
Imprint