RUU Mengundi 18 Tahun - Sejarah Untuk Pemuda!

Sofian Resali | 22-07-2019


16 Julai 2019 menjadi hari bersejarah. Ya, sejarah tercipta apabila Rang undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun disambut baik dan disokong semua pihak dan diluluskan dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat.

 

Media seluruh negara melaporkan bahawa ia telah disokong tanpa ada seorang yang menolak atau membantahnya. Lantas, ia disambut dengan pelbagai pandangan. Paling menonjol adalah ia merupakan suatu pengiktirafan kepada golongan muda untuk berpatisipasi dalam membina negara ini melalui peti undi.

 

Sebelum ini, Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara yang menetapkan had umur mengundi pada usia 21 tahun di kalangan negara-negara Asean selain Singapura. Ketika negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Cambodia menetapkan usia seawal 18 tahun untuk mengundi.

 

Di kalangan negara Asia pula menyaksikan Korea Utara, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Hong Kong menetapkan usia 17 hingga 19 tahun untuk layak mengundi. Sesuatu yang telah didahulukan berbanding Malaysia. Maldives, India dan Iraq tidak terkecuali daripada isu ini.

 

Di negara Eropah pula, Scotland dan Austria antara menjadi antara negara yang menetapkan 16 tahun sebagai usia layak mengundi. Manakala negara-negara lain seperti United Kingdom, Croatia, Finland dan Jerman meletakkan usia 18 tahun.

 

Apakah ‘significant’ terhadap perkara ini? Apakah yang boleh kita angkat peranan pemuda terutama dalam membina negara ini. Sedangkan di sana, terdapat dakwaan yang mempertikaikan kematangan pemuda seawal usia ini. Apatah lagi dalam memilih pemimpin.

 

Ada dakwaan yang menyatakan kebimbangan terhadap beberapa perkara tentang soal ini. Pertama, apakah pemuda seawal usia ini mempunyai kesedaran terhadap pengundian. Ketika angka tidak rasmi berdasarkan pendaftaran pelar di sekolah menunjukkan kita akan mendapat sekitar 450 ribu pertambahan pengundi setahun. Atau kira-kira pertambahan 1800 pengundi sehari.

 

Persoalan kedua adalah mengenai kebijaksaan dalam mengundi. Isu ini diutarakan ketika ramai pemuda dilaporkan terpalit dengan pelbagai masalah yang boleh menjejaskan atau dipersoalkan kebijaksaan mereka dalam membuat pilihan. Bermaksud ia adalah tentang kematangan.

 

Namun, ketika persoalan ini diutarakan,  dalam Islam umur 18 tahun adalah usia yang sudah cukup matang. Islam meletakkan mereka sebagai sudah akil baligh. Menurut Mazhab Syafie, umur matang diletakkan pada usia 15 tahun. Manakala dalam mazhab-mazhab lain, paling lewat kematangan seseorang adalah pada usia 18 tahun.

 

Jadi, umur syiling kematangan adalah pada 18 tahun. Jarang kita lihat seseorang yang sudah menjangkau usia 18 tahun yang belum matang. Ini menunjukkan bahawa Islam memberikan pengiktirafan pada usia sebegini. Sehingga Rasulullah SAW pernah dalam peperangan, beberapa orang sahabat memohon untuk keluar berperang dengan baginda.

 

Namun, Rasulullah SAW telah menolak 17 orang daripadanya kerana usia mereka belum mencecah 15 tahun (mengikut kalendar hijrah). Setahun kemudian, mereka kembali memohon kepada Rasulullah SAW untuk turut berperang. Setelah diperiksa semula usia mereka dan ternyata sudah genap 15 tahun. Mereka kemudian dibenarkan untuk menyertai peperangan.

 

Begitulah bagaimana Islam memberikan pengiktirafan kepada pemuda yang telah cukup usia matang untuk terlibat dalam urusan penting termasuk dalam membina negara.

Keterlibatan pemuda dalam politik adalah suatu kewajipan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Ia adalah sebahagian daripada peranan mereka dalam pemerintahan negara yang disebut sebagai Siyasah Syar’iyyah. Al-Mawardi ketika membicarakan perihal kepentingan politik telah menyinggung bahawa tugas politik dan kekuasaan adalah untuk menyambung tugas para Nabi dan Rasul, iaitu demi menjaga hal ehwal dunia dan agama.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting disentuh oleh al-Mawardi adalah peranan penting kekuasaan dalam kehidupan manusia. Peranan kuasa amat penting dalam menjamin kelangsungan harmoni dan juga keamanan hidup manusia dan juga untuk mempertahankan agama serta menyebarkannya.

Rujukan:

 

Imprint