Palestin dan Peristiwa Deir Yassin

Dr. Hafidzi Mohd Noor | 22-07-2019


Tarikh 9 April 1948 akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu lebih 60 tahun lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa serta agama.

 

Pada dinihari tarikh berkenaan, sekitar 4.30 pagi Jumaat , kumpulan pengganas zionis Haganah membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan.

 

Hanya seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya, beliau melihat sendiri bagaimana adik perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepala ditembak pengganas-pengganas tersebut.

 

Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta darah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan sekelompok manusia yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendukung zionis hanya berselindung di sebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan jauh lebih keji daripada apa yang mereka alami.

 

Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan sesiapa yang masih waras akal fikirannya. Cukuplah apa yang didedahkan beberapa orang yang terselamat dan menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka serta dikeluarkan janinnya.

 

Semua 25 orang ibu mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini. Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air demi keselamatan diri dan keluarga.

 

Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin. Namun sebagai umat bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampung halaman meskipun terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negera-negara Eropah.

 

Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati tiga kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern Gang. Menjelang November 1974, apabila pelan pemisahan (Partition Plan) dilaksanakan PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas Yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 morta. Menerusi pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampung halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.

 

Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan Irgun yang dipimpin Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doktor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tiada sesiapa yang hidup.

 

Mereka membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan dalam sejarah iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.

 

Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar Sadat hasil daripada perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan negara haram Israel.

 

Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak Menachem Begin dengan ucapan biadapnya ‘Selamat datang ke Jerusalem, ibu negara abadi Israel’. Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir.

 

Mesir sebelum itu merupakan satu-satunya negara Arab yang mempunyai kekuatan setanding dengan Israel bertukar menjadi kambing yang dikebirikan. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.

 

Tragedi Deir Yassin adalah simbol berdirinya negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan:

“Tanpa apa yang dilakukan di Deir Yassin maka tidak akan wujud negara Israel.”

Dia menambah;

 

“Ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang berjaya di medan-medan lain, orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panik sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!’

 

Menachem Begin dan semua pepimpin Israel dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat palestin tanpa sedikitpun merasa bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa ‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah.

Inilah pendekatan yang masih digunakan Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat palestin yang diperlukan bagi memastikan negara haram Israel terus kekal.

 

Luka Deir yassin masih berdarah meski sudah berlalu 60 tahun lebih. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih dan ditanggung rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.

 

KALENDAR
Imprint