Ayah, kenapa ayah tak makan?




"Ayah. Kakak dapat nombor satu. Boleh tak kakak nak makan KFC?" soal seorang anak kecil pada ayahnya.

"Adik pun nak juga, ayah. Boleh la ayah ya. Adik tak pernah makan KFC. Kawan-kawan kata, sedap ayah," balas si adik pula.

"Boleh. Malam ini kita pergi ya," balas si ayah tersenyum.

Wajahnya mempamerkan senyuman paling manis untuk kedua puteri kesayangannya. Sedangkan di dalam kepalanya mencatur pelbagai perbelanjaan yang masih tertunggak.

Namun untuk mengatakan tidak kali ini, dia tidak sampai hati. Sebelum ini entah berapa banyak permintaan anak-anak terpaksa dia tolak.

Bukan dia tidak mahu gembirakan hati anaknya, namun kehidupan mereka sangat sempit. Kantungnya sentiasa kekosongan.

Dia hanya buruh yang gaji tidak menentu.

Namun kali ini, puteri kesayangan dapat nombor satu dalam kelas. Betapa dia bangga dengan puterinya, betapa dia gembira.

Saat anak itu meminta satu permohonan yang sejujurnya dia tidak mampu tunaikan, dia tidak lagi mampu mengatakan tidak.

"Yeay yeayyy. Ayah nak bawa ke KFC. Yeayy yeayyy!"

Dia masuk ke dalam bilik saat kedua puterinya bersorak kegirangan. Diangkat katil buruknya, dan matanya melilau mencari sesuatu.

Dia mencari kepingan syiling yang pernah jatuh masa dia baring. Disuluh dengan lampu telefon, akhirnya jumpa beberapa keping. Namun jumlah itu tidak mencukupi. Jauh dari mencukupi.

Dompet lusuhnya dibuka. Ada dua keping not RM10. Itu pun dipinjam dulu dari majikannya semalam.

Niatnya nak tukar mentol motor, isi minyak motor kapcai yang dah kekeringan dan sebagai duit belanja makan tengahari dia esok.

Dia genggam erat-erat duit RM10 itu. Dikucupnya dengan titisan air mata lantas bermonolog sendiri,

'Duit boleh dicari lagi. Namun kebahagiaan anak-anak itu keutamaan aku.

Tuhan. Murahkan rezeki aku. Tuhan, betapa aku sangat perlu duit ini, namun aku tidak mampu menolak permintaan puteri-puteriku.

Tuhan. Kau gembirakan dan bahagiakan mereka seumur hidup mereka. Semoga mereka berjaya dan berjumpa pasangan hidup yang baik-baik.

Semoga kehidupan mereka senang dan tidak sepertiku yang sering kesempitan.

Tuhan, aku mohon dengan sangat.'

Air matanya mengalir.

Saat itu anak sulungnya masuk dan bertanya,

"Kenapa ayah menangis? Ayah tak ada duit ke? Kalau macam tu tak apalah ayah. Kakak makan nasi goreng sahaja."

"Eh tak kakak. Tadi mata ayah masuk abuk. Dah keluar dah pun. Ayah ada duit, jangan risau. Tengok ni duit ayah ada banyak," katanya seraya menunjukkan dua keping not RM10.

Malam itu, mereka ke KFC seperti dijanjikan. Gembira bukan kepalang anak-anaknya. Maklumlah, kali pertama merasa.

Sebaik berada di meja, si kakak bertanya lagi,

"Ayah. Kenapa ayah tak makan?"

"Ayah kenyang. Lagi pun nanti ayah nak pergi tempat orang nak kenduri. Boleh makan kat sana nanti."

"Ayah. Ambillah ayam kakak sedikit. Nah!"

"Tak apalah nak. Makanlah puas-puas. Ayah dah selalu makan KFC dulu," balasnya sambil mengusap kepala anak kesayangannya.

Saat itu airmatanya jatuh lagi menitis dipipi. Cepat-cepat dia lap dengan hujung jarinya sebelum kedua puterinya perasan.

Pulanglah anak-anak itu dengan gembira. Hajat yang sudah lama dipendam akhirnya menjadi kenyataan.

Sewaktu perjalanan pulang, adik pula berkata,

"Ayah. Nanti kalau adik dapat nombor satu pula ayah bawa ke KFC lagi ya!"

"Baik dik. Nanti kita datang lagi. Adik janji belajar pandai-pandai macam kakak ya."

"Baik ayah."

Mereka berjalan pulang.

Dan esoknya si ayah bangun awal-awal pagi untuk ke tempat kerja. Dia kena turun awal hari itu. Kerana dia perlu pergi dengan basikal.

Motornya tiada lagi minyak. Nak isi seringgit pun tiada. Maka mengayuhlah dia dengan bekal sebotol air kosong untuk menghilangkan lapar dan dahaga sepanjang hari.

Dan dia sudah pun membayangkan akan dimarahi dan disindir majikan lagi bila dia minta pinjam RM20 lagi hari ini.

Untuk melihat senyuman anak-anaknya, dia rela dimarahi. Dia rela mengerah tenaga mengayuh basikal tua sahaja.

Apa yang membahagiakan dia, dia dapat lihat senyuman puteri-puterinya sejak awal pagi. Begitu bersemangat untuk ke sekolah hari ini.

Agaknya tidak sabar-sabar mereka ingin bercerita pada kawan dan gurunya pengalaman pertama kali makan KFC.

"Ayah, kenapa awal sangat ayah hantar kami ke sekolah hari ini?

Dan kenapa ayah naik basikal hari ini?"

"Motor ayah rosak dik," balasnya pendek.

Matanya mula bergenang.

"Ayah, ayah menangis?" soal anak polos itu lagi.

Kali ini si ayah tidak lagi berbohong. Dia tidak jawab apa-apa. Hanya airmata meluncur laju. Selaju kayuhan basikal tuanya itu.

"Ayah. Ayah jangan la menangis. Kakak janji untuk belajar sungguh-sungguh. Akak janji tak minta makan KFC lagi."

"Ya ayah. Jangan nangis ayah ya. Kalau adik dapat nombor satu pun adik dah tak nak minta KFC dah. Kita makan nasi goreng sama-sama ya ayah," balas si adik pula.

Dan airmata turun dengan lebih menggila pada wajah ayahnya mendengar kata-kata kedua puteri kesayangannya itu.

Ayah...

Begitulah mereka. Menyorok dengan banyak setiap penderitaan demi anak-anak kesayangan.

Sesungguhnya keperitan ayah yang kita tahu hanya setitis dari selautan pengorbanan seorang ayah.

Selamat Hari Ayah buat semua ayah-ayah di dunia.

Kalian insan agung dan hebat.

- Kini aku seorang ayah, dan kini aku mengerti -

Kredit: Mohd Fadli Salleh

Imprint