5 FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI IMAM AL-MAHDI

Ustaz Mustafar Mohd Suki | 23-07-2019


DALIL-DALIL DARIPADA AL-SUNNAH DAN ATHAR SAHABAT BERKENAAN IMAM AL-MAHDI


NAMA IMAM AL-MAHDI

Imam al-Mahdi adalah merupakan seorang manusia yang akan dilantik oleh ALLAH. Nama beliau adalah sama dengan nama Nabi SAW iaitu Muhammad bin Abdullah yang akan menguasai bangsa Arab pada akhir zaman.

Daripada Nabi SAW bersabda,

“Dunia tidak akan hilang atau tidak akan lenyap hingga seseorang dari Ahli Baitku menguasai bangsa Arab, namanya sama dengan namaku.” (Musnad Ahmad 6/199, al-Tirmizi menyatakan hadith hasan sahih, Sheikh Ahmad Syakir juga menyatakan sanad hadith ini sahih dalam Musnad Ahmad)

 

RUPA BENTUK

Imam al-Mahdi merupakan keturunan Nabi SAW dari sudut susur galur keturunannya. Manakala dari sudut fizikal, beliau mempunyai rupa bentuk paras tersendiri iaitu berdahi lebar dan hidungnya mancung.

Daripada Nabi SAW bersabda,

“Al-Mahdi dari keturunanku, dahinya lebar, hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan, sebagaimana bumi telah dipenuhi dengan kezaliman sebelumnya. Dia akan berkuasa selama tujuh tahun.” (Riwayat Ahmad) 

 

KETURUNAN

Imam al-Mahdi berasal daripada keturunan Nabi SAW iaitu daripada suku kaum Quraisy, daripada keturunan Bani Hasyim melalui susur galur Sayidatina Fatimah r.a., daripada anaknya Hasan r.a. Beliau akan muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah masyarakat.

Daripada Qatadah aku bertanya kepada Said bin al-Musayyib,

“Adakah al-Mahdi itu benar?” Jawabnya, “Ya.” Aku bertanya lagi, “Siapakah dia?” Dia menjawab, “Daripada Quraisy.” Aku bertanya lagi, “Daripada keturunan mana?” Dia menjawab, “Daripada Bani Hasyim.” Aku bertanya lagi, “Bani Hasyim yang mana?” Dia menjawab, “Daripada Bani Abdul Mutallib.” Aku bertanya lagi, “Daripada keturunan siapa?” Dia menjawab, “Daripada keturunan Fatimah.” (Riwayat Ibnu Abi Nu’aim dalam al-Fitan dengan sanad yang hasan)

 

TEMPOH PEMERINTAHAN

Sebelum kemunculan Imam al-Mahdi, pelbagai bala dan masalah akan menimpa umat ini berupa kezaliman dan kekejaman. Maka pada saat itu, Imam al-Mahdi akan muncul seperti yang dijanjikan oleh ALLAH.

Imam al-Mahdi akan memerintah bumi dengan adil dan saksama, keadaan harta yang melimpah ruah dalam tempoh lima, tujuh atau sembilan tahun. Sebenarnya tidak dapat pertentangan antara berapa lama tempoh ini. Ia sesuai dengan izin ALLAH sama ada ALLAH berkehendak untuk menghidupkan Imam al-Mahdi dalam tempoh lima, tujuh, lapan ataupun sembilan tahun. Saat kemunculannya amat dinanti-nanti oleh umat pada ketika itu.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. menceritakan sebuah hadith bahawa Nabi SAW bersabda,

“Dunia ini akan dipenuhi dengan ketidakadilan dan penyelewengan. Ketika itulah, seorang lelaki dari kaum keluargaku akan naik dan memerintah selama tujuh atau sembilan tahun dan akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan.” (HR Ahmad)

 

BILA DAN DI MANA KEMUNCULANNYA?

Imam al-Mahdi akan muncul pada akhir zaman iaitu sebelum keluarnya Dajjal dan sebelum turunnya Nabi Isa a.s. Beliau akan muncul dari sebelah Khurasan di Iran. Walaupun terdapat pertikaian terhadap hadith-hadith dimana beliau akan muncul, yang pasti bahawa al-Mahdi itu akan muncul di akhir zaman.

Terdapat beberapa hadith yang menyebut tentang tanda dan arah munculnya Imam al-Mahdi. Namun, tidaklah semuanya datang dengan riwayat yang sahih.

Tanda kedatangan Imam al-Mahdi disebutkan, daripada Ali bin Abdillah bin Abbas katanya,

“Al-Mahdi tidak akan muncul selagi tidak terbit sesuatu tanda bersama matahari.” (HR Abdul Razzak dalam Musannaf 11 /373. Sanadnya sahih dan seluruh perawi boleh dipercayai)

Di akhir zaman panji-panji hitam akan muncul dari arah timur Khurasan (Iran), maka di situlah munculnya Khalifah Imam al-Mahdi.

Daripada Thauban katanya, Rasulullah SAW bersabda,

“Bila kamu lihat panji-panji hitam dari belah Khurasan, maka pergilah kepadanya kerana di situ ada Khalifah ALLAH al-Mahdi.” (HR Ahmad, sanad hadith ini hasan dan boleh diterima)

 

Sumber: Buku Imam Mahdi Tidak Wujud?

 

KALENDAR
Imprint