PASANGAN SUKA MERAJUK? INI ANTARA TINDAKAN YANG ANDA BOLEH LAKUKAN

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah | 23-07-2019


SOALAN: Dalam rumah tangga, ada pasangan sama ada suami atau isteri yang suka merajuk. Apa tindakan yang sewajarnya untuk berhadapan dengan orang yang kuat merajuk?
 

Dalam rumah tangga mesti ada episod BPR iaitu ‘Bila Pasangan Rajuk’. Antara langkah pertama yang perlu dibuat ialah kenal pasti apakah punca isteri atau suami kita merajuk. Kadang-kadang puncanya simple sahaja seperti isteri yang datang bulan atau uzur. Orang lelaki susah nak faham sebab apabila hormon wanita berubah, maka mood dan emosi dia akan menjadi tidak stabil.

Sifat wanita ini memang sensitif dan unik. Semua suami sangat dituntut untuk sentiasa berlaku baik, berlemah-lembut dan bersabar dengan isteri dalam apa jua keadaan. Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa dan menjadi amanah bagi kaum lelaki yang perlu mendidik mereka ke arah kebaikan.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

“Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bila mana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok. Untuk itu, nasihatilah para wanita.”Isteri juga sebenarnya mudah merajuk apabila suami meninggikan suara kepadanya tanpa sedar. Apabila suami naikkan suara, hampir semua wanita akan rasa kecil hati. Jadi, apa yang perlu dibuat?

Pertamanya, kita kena minta maaf. Orang lelaki memang susah nak ucapkan permohonan maaf. Berbeza kalau kita lihat drama di televisyen, senang betul orang lelaki nak minta maaf kepada perempuan, sedangkan realitinya sangat susah sebab lelaki ada egonya tersendiri.

Oleh itu, berusahalah untuk mengaku salah dan memohon maaf secara bersungguh-sungguh kepada pasangan kita.

Banyak lagi sebenarnya cara untuk memujuk pasangan kita yang merajuk. Antaranya ialah:

• Berikan hadiah yang diminatinya.

• Kurangkan beban kerjanya seperti cuci pinggan, basuh baju dan sebagainya.

• Nyanyikan lagu kegemarannya atau lagu yang sering didengar atau dinyanyikan ketika waktu bercinta.

• Ajak makan di luar.

• Berdoa agar dilembutkan hati pasangan.

• Ajak mentua datang ke rumah. Pasangan akan hentikan rajuknya untuk meraikan ibu bapanya.

• Minta bantuan anak-anak untuk memujuk pasangan yang merajuk.

 

BUKU BERKAITAN
  • Ingat Syaitan Pernah Ambil MC
KALENDAR
Imprint