APABILA DIJANGKITI PENYAKIT IBLIS

Ustaz Syed Mohd Norhisyam | 26-07-2019


Iblis pernah menghuni syurga dan menikmati pelbagai keistimewaan di dalamnya. Walaubagaimanapun, ia terpelanting keluar disebabkan satu penyakit yang sangat berbahaya. Penyakit ini lebih bahaya daripada Aids, H1N1 ataupun kanser kerana penyakit iblis ini kesannya menyebabkan pengidapnya terhumban ke neraka. Ia juga mungkin terkena kepada manusia.

Sekiranya seorang suami mengidap penyakit ini, isterinya pasti merana. Sekiranya seorang bos mengidapnya, akan menyebabkan orang bawahannya bekerja dengan penuh stress dan tertekan. Apabila pemimpin terkena virus penyakit ini, ia tidak bersedia menerima sebarang teguran orang bawahannya di samping merasakan hanya dirinya yang betul dalam setiap keputusan yang diambil. Siapa sahaja yang terkena virus ini, akan dibenci oleh orang di sekelilingnya.

Di dalam bahasa Arab, penyakit ini disebut “al-kibr”, berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 34. Mungkin terjemahan mudah dalam bahasa moden, ia bolehlah ditafsirkan sebagai EGO.

Ketika Rasulullah SAW menerangkan apakah realiti penyakit “al-kibr” ini, baginda menyimpulkannya sebagai “menolak kebenaran dan memandang hina kepada orang lain”(riwayat Muslim, no 275).

Iblis tidak boleh menerima hakikat kebenaran bahawa Adam yang baru dicipta oleh Allah SWT adalah lebih mulia daripadanya lantas menolak perintah Allah SWT untuk sujud kepada Adam. Sujud tersebut bukan bermakna menyembah Adam, tetapi sujud sebagai lambang taat kepada Allah SWT, sebagaimana umat islam pada hari ini sujud mengadap ke arah Kaabah. Bukan menyembah Kaabah, tetapi patuh kepada arahan Allah SWT.

Iblis menganggap Adam lebih hina daripadanya sebagaimana dirakamkan jawapannya kepada Allah SWT di dalam surah Sod, ayat 76 yang bermaksud “Ya Allah SWT, aku lebih mulia darpada Adam, ENGKAU menciptaku daripada api dan ENGKAU menciptanya daripada tanah !”.

Perasaan dirinya lebih mulia menyebabkan Iblis menjadi engkar kepada perintah Allah SWT lalu dikeluarkan daripada syurga. Inilah akibat yang mengerikan apabila terkena virus “al-kibr” atau EGO ini.

Menurut Imam Al-Ghazali, ketika di dunia kesan paling negatif daripada penyakit ini adalah keengganan menerima kebenaran dan seseorang yang mengidapnya tidak akan mendapat manfaat daripada ilmu yang dipelajarinya.

TANDA-TANDA SESEORANG TERKENA VIRUS “AL-KIBR

Apabila berbicara berkenaan penyakit, ada gejala-gejala yang boleh dikenalpasti oleh pakar perubatan bagi mengesahkan seseorang mengidap penyakit tertentu. Begitu juga apabila seseorang terkena virus “al-kibr” atau EGO ini, dia menjadi seorang yang sangat sukar menerima pandangan orang lain walaupun ternyata kebenarannya.

Sekiranya berada di dalam perbincangan atau mesyuarat, dia terlalu inginkan agar ideanya mendominasi keputusan bahkan sentiasa memandang rendah terhadap ahli mesyuarat yang lain. Ketika di khalayak, dia tertunggu-tunggu orang lain memulakan ucapan salam kepadanya dan juga mengharap agar dirinya disambut serta diraikan kehadirannya.

Apabila memberi nasihat, hati kecilnya merasa dirinya teramat mulia dan sempurna, sedangkan orang yang dinasihatinya terlalu lemah dan hina, sehingga ada kalanya menyebabkan ia menggunakan bahasa yang sangat keras dan mempunyai unsur-unsur memperlekeh orang yang dinasihatinya.

Pengidap virus “al-kibr” ini akan cepat melenting apabila ada orang yang menolak pandangan dan cadangannya, bahkan terus menganggap bahawa ia adalah satu permusuhan yang diisytiharkan kepadanya. Inilah yang berlaku kepada Firaun yang telah dilaknat oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Firaun adalah pemimpin yang sangat ego sehingga menganggap dirinya adalah tuhan yang memberi rezeki dan kehidupan kepada rakyatnya. Rakyat patuh dalam keadaan penuh kebencian kepadanya, semata-mata kerana takut terhadap ancaman-ancaman yang sedang menanti sekiranya membangkang Firaun. Inilah bahananya apabila seseorang terkena virus “al-kibr”, dibenci di dunia dan menempah tiket ke neraka bersama iblis pada akhirat nanti.

Faktor-Faktor Merebaknya Virus “Al-Kibr

Imam al-Gazali telah menjelaskan sebab-sebab seseorang terkena penyakit iblis ini di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin. Menurut beliau, terdapat tujuh sebab utama merebaknya virus ini ke dalam jiwa seseorang iaitu dua yang bersifat keagamaan dan lima bersifat duniawi.

Pertama, banyaknya ilmu agama seseorang ada kalanya menjadi sebab keegoannya. Dia merasakan bahawa dirinya paling mulia disebabkan ilmu agama yang dimilikinya dan hanya pandangannya yang paling tepat menurut syarak. Sekiranya ada pandangan daripada seseorang yang dilihat lebih cetek ilmu agamanya, terus ditolak walaupun pandangan itu lebih dekat kepada kebenaran. Sepatutnya seseorang yang memiliki banyak ilmu agama, menjadi lebih tawadhu’ kerana mengenal Allah SWT dan mengakui hakikat kelemahan diri sendiri. Seseorang yang berilmu sepatutnya mencontohi Rasulullah SAW yang menerima pandangan seorang bekas hamba yang bernama Salman al-Farisi agar menggali parit sebagai strategi perang Ahzab. Baginda bukan sahaja seorang pemimpin negara ketika itu, bahkan seorang rasul yang menerima wahyu, tetapi sentiasa mendengar pandangan orang bawahan dan menerimanya apabila ia memberi manfaat untuk agama dan negara Madinah.

Kedua, ada kalanya, seseorang yang banyak melakukan ibadat, menjadikan hatinya dihinggap virus “al-kibr” ini. Apabila ibadat dilakukan secara tidak ikhlas serta tanpa ilmu yang sempurna berkenaan fiqh dan ruh ibadat tersebut, menyebabkan hatinya sentiasa merasakan dirinya lebih mulia daripada orang-orang yang dianggap lebih sedikit ibadat berbanding dirinya. Ketika itu nasihat dan pandangan orang lain sudah tidak dipedulikan, sehingga terkeluar ungkapan “Siapa kamu untuk menasihatiku ? Aku sentiasa di masjid, puasa sunat dan banyak ibadat, kamu hanya datang ke masjid pada hari Jumaat ” dan banyak lagi ucapan yang senada dengan ungkapan iblis di dalam surah Sod, ayat 76 yang dinyatakan sebelum ini. Hakikatnya, ibadat yang banyak bukan satu kesalahan, ia sangat terpuji dan dianjurkan oleh Islam. Tetapi ia mestilah dilakukan dengan penuh ikhlas dan sempurna sehingga menghasilkan insan yang lebih mengenal hakikat dirinya lalu bersifat merendah diri dalam segala urusan.

Ketiga, penyakit “al-kibr” juga berjangkit kepada seseorang disebabkan keturunannya. Ia berbangga dengan keturunannya yang dianggap mulia ataupun kerana ketokohan salah seorang nenek moyangnya. Apabila bercakap, ia sentiasa bercerita kehebatan keturunannya sedangkan hakikat dirinya jauh berbeza dengan keperibadian tokoh yang dibanggakannya. Sepotong pepatah Arab menyebut “Bukanlah seorang yang jantan apabila sering bercerita tentang kehebatan nenek moyangnya, tetapi seorang yang jantan akan berkata, ‘ini diriku’ (yakni berdiri di atas keperibadian dan pencapaian sendiri) ”. Keturunan tidak akan menyelamatkan seseorang daripada azab Allah SWT apabila ia tidak patuh kepada hukum hakam-Nya. Abu Lahab adalah bapa saudara Rasulullah SAW, tetapi apabila tidak tunduk kepada ajaran baginda, bahkan menentangnya, maka tempat Abu Lahab di neraka. Walau bagaimanapun, tidak salah untuk mengungkap kejayaan nenek moyang dengan tujuan menjadikannya sebagai suatu motivasi untuk mencontohi mereka dalam kejayaan yang diperolehi.

keempat, faktor seterusnya ialah kecantikan. Perkara ini berlaku kebanyakannya kepada golongan wanita yang dianugerahkan kecantikan oleh Allah SWT. Dia terlupa bahawa anugerah ini sepatutnya disyukuri kerana Allah SWT boleh menariknya kembali pada bila-bila masa sahaja. Ia memandang hina kepada wanita lain yang dianggap kurang cantik daripada dirinya dan tidak layak memberi nasihat atau teguran. Kecantikan sebenarnya tidak menjamin kebahagiaan, tetapi keimanan dan akhlak yang mulia bakal mengekalkan kasih sayang. Nabi Yusof a.s dianugerahkan ketampanan yang luar biasa, tetapi tidak pernah ego dengan kelebihannya, apatah lagi menyalahgunakannya untuk perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT.

kelima, virus “al-kibr” ini juga banyak berlaku disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh seseorang. Ia merasakan dirinya mampu memiliki segalanya termasuk membeli manusia. Apabila datangnya kebenaran dari mulut insan yang tahap kekayaannya lebih rendah daripada diri si kaya tadi, maka kebenaran diketepikan semata-mata disebabkan pembawanya adalah orang miskin. Pembawa kebenaran dipandang hina semata-mata kerana statusnya. Islam tidak pernah menghalang seseorang mencari kekayaan kerana dengannya, ia boleh membayar zakat dan bersedekah dengan lebih banyak. Tetapi sekiranya kekayaan menjadikan seseorang itu ego dan memandang hina kepada insan lain yang tidak bernasib baik sepertinya, kita dapati pelbagai kisah daripada al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang melarangnya. Seorang kaya yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain tidak akan menjadi hina, bahkan disayangi oleh pelbagai lapisan masyarakat di samping doa mereka dibantunya. Kaji dan contohilah hartawan-hartawan pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, Othman bin Affan, Abdul Rahman al-Auf dan lain-lain lagi yang sentiasa tawadhu’ dan bersyukur di atas kekayaan anugerah Allah SWT.

Keenam, jumlah pengikut dan pembantu yang ramai juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penyakit “al-kibr” ini. Menurut Imam al-Ghazali, ia berlaku kepada dua golongan manusia, iaitu ulama dan para pemerintah. Sebahagian ulama menjadi ego apabila memiliki ramai murid yang meminatinya, manakala pemerintah menjadi sombong dan menolak kebenaran disebabkan perasaan kemuliaan dirinya yang memiliki ramai tentera dan hulubalang. Perkara ini bukanlah merangkumi semua ulama dan pemerintah, tetapi ia telah menjadi penyebab virus ini kepada sebahagian mereka sepanjang sejarah kemanusiaan.

Ketujuh, faktor terakhir ialah kekuatan fizikal yang dimiliki oleh seseorang menjadikannya ego dan sentiasa memandang hina kepada insan lain yang lebih lemah daripadanya. Merasakan diri lebih kuat dan gagah sehingga memaksa orang lain mengikut apa sahaja yang diputuskannya walaupun ia bercanggah dengan kebenaran. Ingatlah bahawa kekuatan sebenar adalah milik Allah SWT. Apa yang dimiliki oleh manusia adalah sementara dan boleh ditarik balik oleh-Nya sekiranya Ia berkehendak.

AJAIBNYA UNGKAPAN TERIMA KASIH

Setelah mengenalpasti punca-punca penyakit ini tersebar, maka setiap umat islam perlu berusaha menjauhinya dan menilai ke dalam diri sendiri kalau-kalau virusnya mungkin telah mula berjangkit. Biasakan ungkapan “Terima kasih atas nasihat yang diberikan, saya sangat menghargainya”, “Bagusnya kamu kerana mengingatkan saya perkara tersebut, saya tidak terfikir sebelum ini”, “Pandangan anda sangat tepat, semoga kita dapat manfaatkannya” dan banyak lagi ungkapan yang menghargai dan  menerima kebenaran, walau dari siapa pun ia datang. Buang egomu, nescaya engkau disayangi !

BUKU BERKAITAN
  • apa khabar hati
Imprint