TAMAN SYURGA DI DUNIA




Menurut sebahagian ulama salaf, di antara mimbar dan rumah Nabi SAW menyerupai taman daripada taman-taman syurga. Sedangkan pendapat lain meyakini bahawa Raudhah tersebut, di akhirat benar-benar akan berpindah ke syurga. Ulama lain mengatakan ia bagaikan taman daripada taman-taman syurga dalam hal turunnya rahmat dan tercapainya kebahagiaan.

Oleh sebab itulah para jemaah haji dan umrah begitu bersungguh-sungguh sehingga berlari serta berebut untuk berada di dalam Raudhah. Dari sudut pandangan fizikal, kawasan tempat solat Raudhah tidak begitu berbeza berbanding tempat solat lain di dalam Masjid Nabawi, tetapi kelebihan yang tidak kelihatan itulah yang diimpi-impikan.

Daripada Abu Hurairah dan lain-lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apa yang ada di antara rumah dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.” - HR Bukhari & Muslim

Menurut Ibnu Qutaibah, hadis ini bukan hendak mengatakan bahawa di antara rumah dengan mimnar Nabi SAW itu terdapat taman syurga. Akan tetapi kerana ibadah yang dilakukan di tempat itu menyebabkan masuknya ke syurga, maka ia seolah-olah sebahagian daripada syurga.

Adakah Raudhah satu-satunya taman syurga di dunia? Jawapannya tidak. Sebenarnya ada banyak taman syurga di dunia ini iaitu majlis dan kuliah ilmu serta kelas pengajian agama seperti di masjid-masjid atau surau.

Justeru, selepas impian untuk berada di taman syurga di Masjid Nabawi diperolehi, jangan pula diabaikan ‘taman-taman syurga’ di tanah air sendiri, ya.  

KALENDAR
Imprint