HUKUM-HUKUM BERKAITAN KORBAN




  • Usia

Usia kambing untuk korban tidak boleh kurang daripada al-jiz’u (tidak genap setahun atau mendekati setahun) selain kambing seperti bebiri, unta atau lembu tidak kurang daripada dua tahun.

Khusus untuk bebiri hendaklah berusia setahun dan masuk pada tahun kedua. Adapun unta dipilih yang berumur empat tahun dan memasuki tahun kelima manakala lembu pula berumur dua tahun dan memasuki tahun ketiga seperti diterangkan dalam hadis yang bermaksud:

“Janganlah kalian menyembelih kecuali musinnah, kecuali kalian kesulitan, maka sembelihlah oleh kalian daripada kambing jiza’ah (yang berusia enam bulan hingga setahun).” - HR Muslim

  • Harus dielak

Tidak dibolehkan berkorban kecuali dengan binatang yang bebas daripada kecacatan dalam penciptaannya. Tidak boleh yang buta sebelah matanya, yang tempang kakinya, tidak al-’udba’ (yang pecah tanduknya atau yang dipotong telinganya daripada asalnya) tidak yang sakit, tidak yang al-’ajafa’ (yang kurus atau tidak bersumsum), sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ada empat jenis yang tidak boleh ada pada haiwan korban; buta sebelah yang jelas butanya, yang sakit jelas kesakitannya, yang tempang kakinya jelas ketempangan dan haiwan yang tidak mempunyai sumsum.” - HR Abu Dawud

  • Haiwan yang paling utama

Haiwan korban yang paling diutamakan ialah kambing yang bertanduk, yang berwarna putih campur hitam (belang) di antara kedua mata dan kakinya. Sifat haiwan seperti inilah yang disukai Rasulullah SAW. Sebagaimana disebutkan dalam hadis bahawa Aisyah pernah berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW berkorban dengan kibas yang bertanduk dan bulu-bulu kakinya berwarna hitam serta di sekitar matanya berwarna putih.” - HR Tirmizi

  • Waktu penyembelihan

Waktu menyembelih haiwan korban adalah pada pagi hari raya ‘Idul Adha iaitu setelah melaksanakan solat ‘Id. Tidak dibolehkan menyembelih sebelum melaksanakan solat ‘Id, seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (‘Id) maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya dan sesiapa yang menyembelih setelah solat (‘Id), maka sempurnalah amalannya dan mengikuti sunah umat Muslimin.” - HR Bukhari

  • Hal-hal yang dianjurkan ketika menyembelih

Ketika menyembelih, haiwan dihadapkan ke arah kiblat sambil kita mengucapkan:

“Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada yang telah menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan pasrah dan tidaklah aku termasuk daripada golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku dan amalanku, hidupku dan matiku hanya untuk ALLAH, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itu aku diperintahkan dan aku termasuk yang pertama berserah diri.”

Diharuskan membaca doa ketika hendak menyembelih:

“Dengan menyebut nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar. Ya ALLAH, sesungguhnya ini (haiwan korban) daripada Engkau dan ia juga untuk Engkau.”

  • Mewakilkan dalam menyembelih

Seorang Muslim digalakkan menyembelih oleh dirinya sendiri dan boleh juga diwakilkan dalam penyembelihan kerana tidak ada perbezaan pendapat di antara ulama.

  • Pembahagian daging korban

Daging haiwan korban dianjurkan untuk dibahagikan menjadi tiga bahagian. Sepertiga untuk diberikan (dimakan) keluarganya, sepertiga untuk sedekah dan sepertiga lagi untuk diberikan kepada sahabat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Makanlah oleh kalian, simpanlah dan sedekahkanlah.” - HR Abu Dawud

  • Upah bagi penyembelih

Kita tidak dibolehkan memberikan upah kepada orang yang menyembelih haiwan korban daripada bahagian haiwan tersebut. Sebagaimana kata Ali:

“Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku untuk menguruskan untanya dan aku diperintahkan untuk menyedekahkan dagingnya, kulitnya dan untuk tidak memberikan kepada penyembelihnya (menanganinya) upah sedikit pun. Lalu dia mengatakan, kami memberinya upah daripada apa yang kami miliki.” - HR Muslim

  • Adakah sah satu keluarga berkorban denga seekor kambing?

Sah korban satu keluarga berupa seekor kambing, meskipun ada beberapa orang dalam keluarga tersebut. Sebagaimana penuturan Abu Ayyub al-Ansari:

“Adakah seorang lelaki pada zaman Rasulullah SAW berkorban dengan seekor kambing atas nama dirinya dan juga nama keluarganya.”

  • Hal-hal yang harus dihindari ketika berazam untuk berkorban

Orang yang hendak berkorban sangat dimakruhkan untuk memotong rambut atau kukunya walaupun sedikit. Demikian ini apabila telah nampak hilal bulan Zulhijjah sehingga datang waktu penyembelihan haiwan korban, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:

“Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijjah dan salah seorang di antara kalian hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan (tidak memotong) rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban.” - HR Muslim

  • Korban Rasulullah SAW untuk seluruh umatnya.

Sesiapa tidak mampu berkorban, maka dia akan meraih pahala daripada orang yang berkorban. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Ya ALLAH, ini (haiwan korban0 daripadaku dan daripada yang tidak (mampu) berkorban daripada umatku.” - HR al-Hakim

Imprint