Bersabarlah Mengerjakan Ketaatan




Imam al-Ghazali menyebut dalam Kitab Minhajul Abidin berkata, sabar terbahagi kepada empat. Pertama adalah sabar dalam ketaatan. Kedua, sabar ketika diuji dengan kesakitan. Ketiga, sabar ketika diuji dengan musibah. Manakala keempat, adalah sabar ketika senang.

Kita ambil sabar yang pertama iaitu sabar dalam mengerjakan ketaatan. Kata orang, mudah untuk melakukan kebaikan, namun sukar untuk istiqamah. Pasti, ramai di kalangan kita punya cita-cita untuk menjadi seorang hamba Allah SWT yang taat. Sama ada taat melakukan apa yang diperintahkan atau taat ketika meninggalkan apa yang dilarang, semuanya bukanlah semudah diimpikan. Ada ujian yang menanti. Ia memerlukan kepada istiqamah dan kesabaran yang tinggi.

Jika kita ingin menjadi hamba Allah SWT yang taat, maka banyak kesabaran yang diperlukan.Sebagai contoh, apabila kita nak datang ke majlis ilmu, tidak kurang ujian yang menanti. Mesti ada kesanggupan untuk bersesak, berdiri dan berada di luar pagar semata-mata ingin menimba ilmu. Andai tiada kesabaran itu, barangkali kita telah mudah mengalah. Ada orang apabila tidak sabar, setelah mencari tempat letak kereta tidak jumpa-jumpa, akhirnya kita ambil keputusan untuk pulang sahaja.

Namun, sekiranya seseorang itu sabar, maka sudah pasti dia akan berada di peringkat tertinggi kesabaran. Kenapa apabila dikatakan untuk taat, kita perlukan kesabaran? Jawapannya adalah, kerana orang yang ingin beribadat kepada ALLAH ini akan diuji dengan pelbagai ujian.

Solat Adalah Ujian Besar

Dalam usaha setiap mukmin melakukan kewajipan, terselit dalamnya ujian yang perlu ditempuhi. Bukan mudah untuk melaksanakannya, apatah lagi istiqamah melakukan ketaatan. Ujian pasti datang. Gangguan dan godaan hadir mengganggu gugat. Mereka yang tewas, akan tersungkur. Namun bagi yang kuat dan sabar, kemenangan akan menanti. Ada kemanisan menanti bagi mereka yang sabar dalam taat.

Sebagai contoh adalah solat. Apabila kita ingin mendirikan solat, sudah pasti kita akan diuji dengan pelbagai perkara. Jangan sangka bahawa kita hanya boleh pergi mengambil wuduk kemudian mengangkat takbir begitu sahaja tanpa langsung diuji. Sungguh, ujiannya cukup kuat. Sehingga Allah SWT berkata bahawa solat terlalu berat melainkan bagi orang-orang yang kusyuk.

Maka, di sini seharusnya kita faham bahawa solat itu merupakan perkara paling berat. Ada ujian yang menunggu. Perlu kita ingat bahawa syaitan tidak akan menggoda kita hanya satu perkara sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kita ingin menunaikan solat, tiba-tiba terbuka pula televisyen. Ceritanya adalah cerita Hindustan bertajuk Dil To Pagal Hai. Maka syaitan mula menghasut kita. Dia menghasut dengan berkata, tengok la ni, seronok ni, cerita Shah Rukh Khan. Maka disitulah kita akan diuji sama ada nak tengok Hindustan ke nak solat terlebih dahulu.

Benar. Kita sedang diuji. Bukan mudah untuk melakukan ketaatan kerana ujiannya bermula ketika kita baru berniat untuk melakukannya. Godaan syaitan, terlalu hebat tanpa kita sedari. Maka, ia memerlukan kepada kekuatan dan kesabaran untuk melaksanakannya. Ada ‘perlawanan’ untuk melakukannya.

Kita pun lawan. Kita pilih untuk mengerjakan solat terlebih dahulu. Namun adakah kita kira bahawa syaitan akan berkata:

“Cis, kalah dah aku”.  

Tidak! Syaitan akan berusaha lagi untuk menggoda kita. Dia ikut pula kita ke bilik air. Dia akan timbulkan pula penyakit was-was dalam diri kita.

Benar. Was-was ketika mengambil wuduk boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Antara situasi yang menunjukkan seseorang itu terkena penyakit was-was adalah apabila kita merasakan dan berkata seperti berikut:

“Aku ni basuh tangan bersih ke tak bersih, bersih ke tak bersih.”

Ya. Inilah contoh apabila penyakit was-was berlaku.

Gangguan dan Was-was Ketika Solat

Ujian tidak habis di situ sahaja. Ia tidak akan habis setakat mengambil wuduk sahaja. Syaitan akan pergi goda di tempat solat pula. Gangguan syaitan ini dapat dilihat pada sesetengah keadaan orang yang menunaikan solat. Begitulah tugas dan watak syaitan yang melakukan pelbagai usaha demi mengganggu seseorang.

Contoh pertama:

Gangguan syaitan dan was-was dapat dilihat ketika sedang mengangkat takbir. Ada orang yang tak berhenti-henti mengangkat takbir berulang kali. Orang sebegini telah terkena penyakit was-was. Sebenarnya pelbagai watak dapat dilihat. Ada orang yang mengangkat takbir dengan tangan dipusing-pusing. Malah ada yang gelagatnya seolah-olah ingin terjun ke dalam kolam.

Gangguan syaitan tidak akan terhenti setakat itu sahaja. Godaan dan gangguan akan berterusan dalam solat. Pelbagai anggota badan akan menjadi alat gangguannya. Pancaindera seperti mata dan telinga tidak terlepas daripada diganggu. Mata sebagai contoh, akan melihat macam-macam.

Begitulah licik dan bahayanya gangguan yang dilakukan syaitan. Tidak pernah berputus asa daripada mengganggu dan menyesatkan orang mukmin. Tumpuannya adalah membuatkan orang Mukmin mengalah daripada melakukan ketaatan. Syaitan akan duduk di kelopak mata lantas menjadikan seseorang itu memandang pelbagai perkara.

Bersabarlah Dalam Melaksanakan Perintah

Ya, bukan mudah untuk taat. Benarlah ingin menjadi hamba yang taat, sabar adalah perlu. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Bahkan terlalu besar kesabaran yang harus dititipkan, demi melaksanakan sebuah ketaatan. Benar, itulah kesabaran yang tinggi. Bukan mudah untuk mendirikan solat, menunaikan ibadat puasa, membayar zakat dan mengerjakan haji. Apatah lagi untuk istiqamah melakukannya. Semuanya memerlukan kesabaran.

Apabila terdengar laungan azan di pagi hari, kita perlu terus bangun untuk menunaikan solat Subuh. Pasti wujud cabaran sama ada kita mahu meneruskan tidur atau terus mengerjakan tuntutan ibadat berkenaan. Begitu pula apabila sedang leka makan, kita perlu berhenti terlebih dahulu untuk menunaikan solat. Maka, di sinilah kesabaran dalam melakukan ketaatan itu akan teruji.

Begitu juga ketika kita sama ada sedang menikmati makanan yang enak atau tidak sepanjang tahun, tiba di suatu ketika kita perlu berhenti. Ada perintah lain yang sedang menunggu. Ya, puasa. Ia perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketaatan.

Selepas bersusah payah, membanting tulang dan berpenat lelah mencari rezeki, datang pula perintah agar kita menunaikan zakat. Ia perlu dilakukan penuh kesabaran demi sebuah ketaatan. Itulah cabaran dan ujiannya. Contohnya, ada orang yang kerjanya menanam padi, sekejap diserang banjir, sekejap tidak, namun apabila telah dapat hasil, zakat perlu dibayar.

Itulah maknanya sabar dalam ketaatan. Sebab itulah, kesabaran yang paling tinggi digariskan adalah sabar dalam melaksanakan ketaatan. Kesabaran ini menuntut kepada pengorbanan dan penghayatan yang sebenar-benarnya. Andai tiada kesabaran yang tinggi, agak mustahil untuk dilaksanakan ketaatan itu.

Imprint