Boleh ke Solat Tahiyatul Masjid di Surau Yang Tidak Didirikan Solat Jumaat?

Ustaz Mustafar Mohd Suki | 08-11-2019


TIDAK MENUNAIKAN SOLAT TAHIYATUL MASJID

Daripada Jabir bin Abdillah R.A berkata:

 جَاءَ رَجُلٌ وَالنَّبِيُّ - صلى الله عليه وسلم - يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: صَلَّيْتَ يَا فُلانُ؟ قَالَ: لا. قَالَ: قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ 

Telah masuk seorang lelaki ke dalam masjid (lalu terus duduk) sedangkan Nabi SAW sedang berkhutbah (pada hari jumaat). Nabi SAW bersabda, "Adakah engkau telah solat (tahiyatul masjid) wahai fulan?" Beliau menjawab, "Tidak," maka baginda membalas, "Bangun dan rukuklah dua rakaat (solat tahiyatul masjid)." (HR Muslim, no. 2061)

Hukum Mendirikan Solat Tahiyatul Masjid Sebelum Duduk

Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat tahiyatul masjid hukumnya adalah sunat. Jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Imam al-San’ani dalam penjelasannya terhadap hadis ini menyatakan, "Ia adalah larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat." (Subul al-Salam, 2/62)

Secara asasnya, hukum mendirikan solat tahiyatul masjid adalah sunat yang amat digalakkan walaupun imam sedang berkhutbah pada hari jumaat.

Ia menjadi penanda aras bahawa solat ini amat dititikberatkan oleh Nabi SAW sehingga baginda menegur sahabat yang tidak melakukannya ketika sedang berkhutbah.

Jika Majlis Ilmu Sedang Berlangsung

Imam al-Nawawi berkata bahawa jika seseorang masuk ke dalam masjid dan imam sedang berkhutbah maka dia tidak boleh duduk melainkan setelah solat dua rakaat yang dilakukan secara ringkas. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/53)

Berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi ini, maka apa sahaja majlis ilmu, kuliah sedang berlangsung, mestilah didahulukan dengan solat tahiyatul masjid sebelum duduk di dalamnya.

Adapun jika seorang keluar dari masjid selepas mendirikan solat tahiyatul masjid untuk pergi ke tandas, atau ada urusan yang penting dan bukan dalam selang masa yang panjang meninggalkan masjid, maka sebahagian ulama menyatakan gugur baginya untuk solat tahiyatul masjid kerana dia sudah mendirikannya sebelum itu. Namun jika seseorang melakukannya kembali maka ia tetap mendapat pahala sunat.

Adakah di Surau Juga Boleh Mendirikan Solat Tahiyatul Masjid?

Majoriti ulama sepakat bahawa surau yang didirikan solat jumaat maka disunatkan padanya untuk mendirikan solat tahiyatul masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Syafie dan selainnya.

Namun jika surau pejabat atau di kampung yang tidak didirikan solat jumaat, maka ulama membincangkan:

- Jika ia adalah surau wakaf yang memang didirikan solat lima waktu di situ maka ia juga disunatkan untuk didirikan solat tahiyatul masjid. Ini adalah pandangan beberapa ulama kecuali mazhab Syafie.

- Jika surau sementara atau milik peribadi seseorang maka ia tidak harus didirikan solat tahiyatul masjid.
 

KALENDAR
Imprint