Bantu Atau Dahulukan Diri Dahulu?




Bantu Orang Sekeliling Kita
===========
1. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, terdapat golongan yang mungkin terjejas. Ada dikalangan mereka yang tidak boleh keluar berniaga, ada dikalangan mereka yang mungkin pendapatannya tersekat. Bertanyalah pada saudara mara atau jiran sekeliling kita, mungkin ada bantuan yang boleh kita hulurkan.

2. Siapa yang seharusnya kita utamakan dahulu? Persoalan ini pernah ditanya oleh sahabat Nabi bernama Amru bin al-Jamuh. Menurut al-Imam Ibn Kathir, setelah soalan ini ditanya, Allah menurunkan sepotong ayat bagi menjelaskan kekeliruan tersebut. Firman Allah:

قُلْ مَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ خَيْر فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِين وَابْن السَّبِيل

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.

3. Menurut Saidina Ibn Abbas, ayat ini menjelaskan kepada kita tentang turutan keutamaan orang yang perlu kita agihkan bantuan sekiranya diperlukan. Kata Ibn Abbas:

أي اصرفوها في هذه الوجوه، كما جاء في الحديث: (أمك وأباك وأختك وأخاك ثم أدناك أدناك)

“Iaitu uruskanlah harta (atau bantuan kamu) melalui turutan ini seperti yang disebutkan di dalam hadith iaitu: Ibu kamu, ayah kamu, saudara perempuanmu dan saudara lelakimu, dan seterusnya saudara yang lain.

4. Ketika ingin memberikan sumbangan, Rasulullah pernah memberikan panduan kepada Saidatina Zainab (isteri kepada Abdullah ibn Mas’ud) agar mengutamakan sumbangan kepada keluarga sendiri dahulu sebelum orang lain. Sabda Rasulullah:

أَنَّ لَهُمَا أَجْرَيْنِ، أَجْرُ الْقَرَابَةِ، وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ

“Sesungguhnya (sumbangan membantu ahli keluarga) mempunyai dua pahala, iaitu pahala merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, dan pahala bersedekah.” (al-Asbahani, Ma’rifah al-Sahabah)

5. Dengan itu, dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini, tanyalah pada ahli keluarga kita andai ada diantara mereka yang memerlukan. Tanyakan juga pada jiran tetangga andai sekiranya ada bantuan yang boleh kita hulurkan. Bukankah mukmin itu seperti jasad yang satu?

Semoga Allah membimbing kita.

 

Kredit Artikel:

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

 

KALENDAR
Imprint